Wujud konspirasi isu Wisma Tok Guru – Husam Musa

KOTA BHARU – Pergolakan antara Datuk Husam Musa dan Kerajaan Kelantan berhubung bangunan Wisma Tok Guru di Jalan Pendek Salor di sini mencapai episod baru apabila, Adun Salor itu dikatakan bakal menerima notis pengosongan bangunan.

Kes itu kembali hangat diperkatakan apabila bangunan tersebut dikatakan telah dijual oleh isteri kepada pemilik bangunan itu, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim kepada seorang ahli Pas.

Justeru, Husam menyifatkan usaha pihak tertentu mengambil alih dan mendesak beliau mengosongkan bangunan itu sebagai dendam dan mempunyai unsur konspirasi.

Walaupun mengesahkan belum menerima notis pengosongan sebagaimana yang digembar-gemburkan, Adun Salor itu menegaskan tidak akan meninggalkan bangunan itu termasuk bersedia membawa kes ke mahkamah.

Beliau mendakwa, pemilik asal tanah berkenaan, Ahmad Rosli telah mengeluarkan surat pada Ogos 2016 yang membenarkan beliau menggunakan bangunan dan tanah itu selamanya.

“Saya akan failkan kepada mahkamah, tanah itu adalah tanah bersama milik saya dan datin (isteri arwah). Jadi sebelum dia halau, kita bincang dulu, selagi itu Amanah akan gunakan kawasan itu.

“Saya akan pesan pada anak-anak buah, guna bangunan itu selagi boleh, kecuali mahkamah yang perintah. Kalau tanya saya, notis itu, secara rasminya saya tidak terima lagi,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai status pemilikan bangunan Wisma Tok Guru di Salor itu selepas Amanah dikatakan menerima notis supaya mengosongkan bangunan tersebut.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud menegaskan bangunan itu hak milik Pas selepas Adun Salor itu keluar parti itu pada Ogos 2016.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *