Warga emas nyanyuk ditemui dalam sungai

KOTA BHARU: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang semalam ditemui dalam keadaan lemah di tepi Sungai Tok Sadang, Pengkalan Chepa, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Halimah Salleh, 75, yang juga penghidap Alzheimer atau nyanyuk dan darah tinggi, ditemui jam 9.15 pagi oleh penduduk kampung dalam keadaan separuh bogel.

Warga emas terbabit dilaporkan hilang dari kediamannya di Pantai Cahaya Bulan jam 1 tengah hari semalam sebelum ditemui kira-kira enam kilometer dari rumahnya.

Anak mangsa, Haslina Awang, 33, bersyukur ibunya ditemui selamat walaupun dalam keadaan lemah kerana sudah dua hari tidak makan.

Katanya, kehilangan ibu disedari jam 1 tengah hari semalam sebelum kakaknya, Hasnah, 37, dengan bantuan penduduk kampung yang keluar mencari ibunya.

“Jam 8 malam tadi, kami membuat laporan polis kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku memandangkan kali terakhir penduduk kampung melihat ibu di Sungai Lubuk Jambu.

“Alhamdulillah, akhirnya ibu ditemui dan sehingga kini keadaan ibu masih lemah. Ini kali pertama ibu keluar rumah bersendirian sehingga kami gagal mencarinya.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan ibu ditemui di sungai. Nasib baik ketika itu air cetek dan saya tidak dapat bayangkan keadaan ibu sekiranya air pasang,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ridzuan Baharudin, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan kehilangan warga emas itu jam 11.30 malam tadi.

“Operasi mencari dilakukan di Sungai Lubuk Jambu selepas mendapat laporan warga emas itu dilihat di lokasi berkenaan.

“Namun, pagi ini penduduk memaklumkan menemuinya dalam keadaan melambai tangan meminta pertolongan,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *