[VIDEO] Padah guna plat palsu DDD 111

KOTA BHARU – Seorang pemuda berusia awal 20-an ditahan sepasukan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri apabila dipercayai menggunakan plat pendaftaran palsu bernombor DDD 111.

Pengarah JPJ Negeri, Mahasan Mustapa berkata, motosikal berkenaan ditahan selepas pemuda terbabit parkir di jalan Kebun Sultan, di sini, kira-kira jam 3.20 petang, semalam.

Menurutnya, tangkapan itu dijalankan melalui risikan dan maklumat

daripada orang awam apabila motosikal berkenaan dikatakan sudah digunakan kira-kira tiga minggu lalu.

“Penunggang motosikal berkenaan yang berasal dari Pengkalan Chepa itu turut melakukan tiga lagi kesalahan lain iaitu tidak memiliki lesen, motosikal tiada cukai jalan, insurans dan cukai jalan palsu.

“Bagaimanapun, pemuda tersebut didapati tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya kepada pemberita di pejabat JPJ Panji, di sini, hari ini.

Mahasan berkata, pemuda berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah, manakala motosikalnya dirampas untuk siasatan lanjut.

“Mengikut hasil siasatan pemuda berkenaan memaklumkan kepada rakan-rakannya dia menggunakan nombor plat kenderaan DDD 111 itu selepas menang tender JPJ bernilai RM70,000.

“Bagaimanapun, tender DDD masih dalam penilaian tender dan nombor plat sepatutnya bernilai lebih RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pemuda berkenaan boleh dikompaun RM5,000 bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 108 Akta JPJ 1987.

Dalam perkembangan lain, katanya, JPJ Kelantan akan menempatkan anggota penguat kuasa untuk memantau jalan raya sempena cuti Hari Raya Haji dan sambutan Hari Merdeka.

Klik video dibawah untuk menonton ⬇️

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *