Tukang potong tangan sudah ada bagi kesalahan curi – Mohd Amar

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sudah mempunyai bayangan individu yang akan ‘ditugaskan’ untuk menjadi tukang potong bagi menjalankan hukuman melibatkan kes kecurian atau Sariqah mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 Pindaaan 2015.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata mereka adalah daripada kalangan doktor pakar memandangkan golongan itu mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

Bagaimanapun katanya kumpulan doktor pakar berkenaan masih belum dilantik memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) Akta 355 masih dibahaskan di Parlimen

“Ada ulama berpandangan pada zaman moden ini kita boleh mengunakan khidmat pakar bedah supaya hukuman hanya melibatkan pergelangan tangan serta tidak mencederakan lengan.

“Pengunaan pakar bedah lebih praktikal kerana mereka tidak memerlukan kursus tetapi hanya memerlukan panduan dari segi agama,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini telah melawat Aceh, Indonesia bagi melihat pelaksanaan hukuman kisas di sana dan berhasrat mempelajari kaedah pelaksaan hukum hudud tersebut di Qatar dan Arab Saudi memandangkan negara berkenaan melaksanakan hukum hudud secara professional.

Tambah Mohd Amar, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun selepas Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac 2015, bagi menjalankan lawatan ke negara terbabit serta mengadakan seminar, bengkel dan kajian.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, berkata walaupun undang-undang terbabit diluluskan, proses menjatuhkan hukuman tersebut perlu melalui pelbagai tapisan dan pengecualian menurut pandangan Islam.

“Contohnya, hendak sampai peringkat potong tangan ini bukan senang kerana satu kesalahan itu ada banyak pengecualian.

“Bukan semuanya dipotong tangan kerana mungkin pesalah dalam keadaan terdesak, kelaparan atau apa-apa masalah hingga menyebabkannya terpaksa mencuri,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *