TRW optimis berdepan Persija, Ratchaburi

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Sathit Bensoh, menyuarakan keyakinan pasukannya mampu memberi saingan tiga penjuru menentang kelab terkemuka Asia Tenggara, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pertengahan bulan depan.

Mengakui pasukan yang bakal dihadapi bukan calang-calang, pengendali kelahiran Thailand itu sudah mempunyai ramuan sendiri selain mengenal pasti kelemahan skuadnya selepas rombakan secara besar-besaran sebelum ini.

Selain itu katanya, skuad The Red Warriors (TRW) juga hampir selesai melengkapkan senarai nama pemain musim depan selepas kemasukan pemain baharu tempatan serta import.

“Kita fokus kepada pertandingan di Kuala Lumpur kerana ia satu peluang terbaik untuk merasai pengalaman berdepan cabaran yang kuat.

“Saya sendiri sudah meneliti kelemahan pasukan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini dan Insya-Allah, semua itu dapat diatasi sebelum pertandingan,” katanya selepas perlawanan persahabatan di antara Kelantan dan Terengganu FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Perlawanan persahabatan kedua TRW selepas hampir melengkapkan senarai pemain musim depan itu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Mengulas perlawanan itu, Sathit berkata banyak peluang yang dicipta namun gagal ditafsirkan dengan jaringan.

“Meskipun berkeputusan seri, saya berpuas hati persembahan semua pemain. Saya anggap perlawanan ini bagi mencari keserasian pemain baharu serta muda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sathit berkata skuadnya akan memulakan sesi latihan pada 3 Januari ini selepas cuti tahun baharu.

Kelantan mewakili Malaysia menentang pasukan Persija Jakarta dari Indonesia dan Ratchaburi (Thailand) bagi merebut gelaran pertama dalam Piala Super Boost SportsFix yang dipertandingkan di Stadium Nasional.

Sumber : Berita Harian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *