Tradisi Makyong Jadi Pilihan Tema Perkahwinan

Pasangan pengantin, Mohd Fared Ramli, 29 dan Mimi Amira Che Mohamed Tajudin, 23, diiringi penari Makyong dalam resepsi perkahwinan mereka yang diadakan di Dewan Istana Majlis, Panji, Kelantan.

Majlis berlangsung dengan ketibaan pengantin perempuan yang disambut dengan tiupan ‘tetuang’ atau semboyan daripada tanduk kerbau oleh seorang hulubalang dan ini merupakan adat istiadat bangsawan.

Pengantin berkenaan diusung menaiki tandu dan bunyi tujuh das tembakan turut dimainkan sebagai simbolik. Perarakan itu diserikan dengan iringan muzik tradisional Kelantan iaitu paluan kompang, rebana ubi, kertuk dan alunan muzik silat serta Raja Berangkat.

Persembahan Makyong, Tarian Asyik dan paluan pergendangan Melayu Kelantan dipersembahkan di majlis perkahwinan tersebut.

Mohd Fared sendiri tidak melepaskan peluang untuk bermain tarik selampit rebab yang mengiringi persembahan itu.

Memilih tema perkahwinan yang berkonsepkan Makyong merupakan impian Mohd Fared sendiri untuk direalisasikan dalam majlis perkahwinannya kerana menganggap Makyong sudah sebati dalam dirinya sebagai seorang guru tari dan muzik selama 12 tahun.

Kedua-dua pasangan menzahirkan rasa puas hati dengan tema yang dipilih kerana setiap perincian yang ada dalam majlis perkahwinan mereka memenuhi syarat tema yang diingini termasuklah ahli keluarga mereka yang mengenakan persalinan songket sebagai tema pakaian.

Kredit – https://www.nx.digital/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *