Tarikan Pelancongan Air Terjun dan Alam Semulajadi di Kelantan

Jeram Linang

Destinasi mandi air terjun yang sangat popular yang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, Kelantan. Di sini terdapat kawasan mandi manda yang sesuai untuk kanak-kanak dan kemudahan asas yang lengkap seperti surau, chalet, tapak perkhemahan, tandas dan gerai-gerai.


Air Terjun Jelawang

Terletak di Gunung Stong, Air Terjun Jelawang merupakan air terjun bertingkat yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.


Jeram Pasu

Destinasi ini terletak di Kampung Padang Pak Amat dan mudah diakses dengan kenderaan. Kemudahan seperti kolam buatan dan hiasan sekeliling yang cantik membuatkan ianya sesuai sebagai satu destinasi percutian air terjun di Kelantan bersama keluarga.


Lata Rek

Terletak di sekitar Kg. Laloh dalam 30km dari bandar utama Kuala Krai, Kelantan dan lokasi air terjun ini sesuai untuk pengunjung yang ingin bermandi-manda bersama keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini juga cetek dan airnya yang sejuk dan bersih membuatkan Lata Rek sering dikunjungi pengunjung setempat terutamanya di hujung minggu (Jumaat).


Lata Beringin

Air terjun Lata Beringin memang sangat cantik dengan pemandangan air terjun yang bertingkat dan kawasan tadahannya di bawah yang lapang tidak berbatu yang sesuai untuk mandi dan berenang bagi dewasa. Namun lokasinya agak terpencil di Sungai Pas, Kuala Krai dan memerlukan melalui jalan yang agak mencabar untuk sampai ke sini. Bagi orang muda yang ingin berkhemah dengan suasana air terjun yang masih asli keindahannya, sangat dicadangkan untuk ke sini.


Lata Hujan

Air Terjun Lata Hujan di Tanah Merah yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Kusial ini sesuai untuk dikunjungi untuk aktiviti mandi manda dan rekreasi bersama keluarga. Air sungainya bersih dan kemudahan seperti surau, tandas, pondok rehat dan tapak perkhemahan juga disediakan.


Gunung Ayam

Salah satu tempat menarik di Kelantan yang sangat popular untuk mereka yang sukakan aktiviti mendaki gunung dan jungle trekking.


Gunung Stong

Selain popular dengan beberapa air terjun yang ada di sini, Gunung Stong juga boleh dikatakan gunung yang paling popular di Kelantan untuk para pendaki. Kemudahan track untuk pendaki disediakan termasuk tapak perkhemahan di atasnya (Kem Baha).


Tasik Pergau

Tasik buatan manusia yang terbina hasil Empangan Pergau ini memang sangat popular di kalangan kaki pancing kelah dan juga mereka yang sukakan percutian di kelilingi alam semulajadi yang masih asli dan terjaga.


Kolam Air Panas Tok Bok

Destinasi yang sangat popular di Machang bagi mereka yang ingin merasai kolam air panas semulajadi. Terletak di Kg Rengas Labok dan jarak dari bandar utama di Machang lebih kurang 20 km.


Taman Kelip Kelip

Bagi yang ingin melihat keindahan kelip-kelip pada waktu malam, bolehlah ke taman ini yang terletak di Kg Pulau di Kubang Kerian. Kebiasaannya pengunjung akan ke sini dan menyusuri sungai selepas pukul 8 mlm dan sebelum pukul 11 mlm.


Taman Negara Kuala Koh

Bagi yang inginkan percutian yang lebih lama di hutan, bolehlah ke Taman Negara Kuala Koh. Kemudahan penginapan ada di sini selain kaya dengan keindahan alam sekitar yang pasti membuatkan pencinta alam tersenyum puas. Di sini juga terdapat air terjun yang cantik untuk aktiviti mandi manda dan juga sering menjadi destinasi pilihan kaki pancing untuk menjinakkan ikan kelah.

Dipetik dari caridestinasi.com

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *