Sungai Golok makin kering

RANTAU PANJANG – Paras air Sungai Golok mulai kering kesan fenomena cuaca panas dan kering yang sedang melanda Kelantan ketika ini.

Tinjauan mendapati beting pasir mulai kelihatan di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pekan Rantau Panjang sehingga ke Bukit Lata di sini.

Seorang penduduk Che Abdullah Che Kassim, 55, berkata, paras air Sungai Golok dilihat mulai kering sejak dua minggu lalu ekoran cuaca panas.

“Jika cuaca panas ini berlanjutan berkemungkinan paras air Sungai Golok akan menjadi kering seperti beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya tetap berdoa agar fenomena panas ini tidak berpanjangan. Hal ini kerana Sungai Golok turut menjadi nadi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengikut laporan portal infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap 3.75 meter berbanding normal iaitu 5 meter.

Pada tahun 2015, air Sungai Golok menjadi kering kontang ekoran fenomena el-Nino sehinggakan penduduk boleh berulang alik ke Thailand dan Pekan Rantau Panjang dengan berjalan kaki. -K! ONLINE

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *