Stadium negeri bertaraf antarabangsa jika BN menang di Kelantan

PASIR PUTEH: Kerajaan persekutuan akan membina sebuah stadium negeri bertaraf antarabangsa jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan stadium itu antara perkara yang akan dimuatkan dalam manifesto BN Kelantan yang sedang dirangka.

“Kita akan kenal pasti tapak yang sesuai untuk membina stadium baharu tersebut sama ada di Pasir Puteh atau Machang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan peletakan batu asas pembinaan Pasar Selising di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pembinaan stadium itu bagi memenuhi hasrat rakyat negeri ini berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas menunaikan janjinya untuk membina sebuah stadium baharu di Bukit Merbau di sini.

Beliau berkata antara perkara lain yang akan dimasukkan dalam manifesto BN Kelantan termasuklah tapak-tapak riadah dan rekreasi bagi golongan muda mengisi masa lapang.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan berkata kerajaan persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan walaupun diperintah parti pembangkang.

Beliau berkata kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan antara yang terbesar kepada Kelantan pada setiap tahun sehingga melebihi peruntukan wajib dalam Perlembagaan negara.

“Antara projek terbaharu adalah peruntukan RM10 juta untuk mewujudkan taman awam masing-masing di Pasir Puteh dan Tanah Merah serta RM5.5 juta untuk membina Pejabat Majlis Daerah Kuala Krai.

“Ini tidak termasuk membina pasar baharu di Selising bernilai RM5 juta yang dapat memberi peluang kepada 70 peniaga untuk berniaga dan dijangka siap tahun depan,” katanya.

— BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *