SPRM Sahkan Annuar Tidak Didakwa

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwa raya telah memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya telah meneliti kertas siasatan isu terbabit.

“Setelah diteliti, diputuskan oleh pendakwaraya untuk tidak mendakwa beliau (Annuar).

“Ini kerana keterangan-keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sinar Harian hari ini melaporkan, kertas siasatan terhadap Annuar telah selesai beberapa bulan lalu dan telah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk disemak.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin menafikan khabar angin Annuar akan kembali ke agensi itu atau mana-mana anak syarikat MARA.

“Saya secara rasmi tidak mendengar Annuar akan kembali ke MARA. Khabar angin mungkinlah,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *