SPM Kelantan terbaik dalam tempoh empat tahun

KOTA BHARU – Pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 negeri Kelantan yang diumumkan hari ini mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun.

Pengarah Pendidikan Negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun ini ialah 4.95 berbanding 5.09 pada 2016.

Menurutnya, peningkatan GPN sebanyak 0.14 mata itu juga mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.03 mata (GPN Nasional 4.97).

“Tahniah kerana ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 52 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi Gred Purata Negeri dan 100 sekolah menunjukkan peningkatan GPS terbaik iaitu 1.87.

Katanya, sekurang-kurangnya 200 calon cemerlang yang mendapat semua A bagi semua mata pelajaran turut dicapai kali ini.

Sekolah Menengah Sains Jeli mendapat kelulusan 100 peratus, dan 14 yang lain mencapai 85 peratus.

Seramai 30,817 calon menduduki SPM tahun lepas di Kelantan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *