Singsing lengan cuci kereta pelanggan

BIARPUN kerja mencuci kereta biasanya dilakukan golongan lelaki, namun hari ini cabaran itu dipikul wanita dalam usaha menambah pendapatan bagi menyara kehidupan harian.

Hal itu dibuktikan ibu dua anak, Nur Liyana Husna Mat Alias, 28, yang tekad membuka perniagaan mencuci kenderaan yang terletak berhadapan Stesen Bas Bandar Baru, sejak empat tahun lalu.

Kata anak jati Kampung Kolam Mas, di sini, bukan tiada suara-suara sinis yang sampai ke telinganya, namun dia tidak pernah merasa rendah diri ataupun malu bergelar pencuci kereta.

“Pada awalnya, suami saya yang buka perniagaan ini kerana dulu perkhidmatan cuci kereta tak banyak di bandar Gua Musang. Hanya ada tiga kedai termasuk kedai ni.

“Namun, sejak suami saya usahakan kebun sendiri, dia tak sempat nak jaga kedai dan minta saya untuk usahakan sendiri. Tapi bila dia tak sibuk, dia akan datang bantu saya.

“Empat tahun saya usahakannya, dah jadi alah bisa tegal biasa. Walaupun penat, saya seronok bila lihat hasil dari titik peluh sendiri,” katanya ketika berkongsi cerita.

Tak kisah apa orang lain kata

Tidak dinafikan, sepanjang mengusahakan perniagaan ini, Nur Liyana memberitahu, dia tidak pernah melihat perkhidmatan cuci kereta diusahakan oleh golongan wanita.

Katanya, bagi pelanggan pertama kali ke kedainya, mereka akan bertanya adakah dia sendiri yang mengusahakan perkhidmatan itu.

“Rakan-rakan saya ramai tanya, kenapa saya pilih kerja ni kerana ia bukanlah kerjaya yang sesuai untuk wanita. Namun, Alhamdulillah, saya mampu usahakannya hingga kini.

“Saya juga tak kisah apa orang kata dan saya tak malu dengan pekerjaan saya. Yang penting ia mampu jana pendapatan dan rezeki yang saya dapat halal hasil titik peluh saya sendiri.

“Walaupun saya pemilik kedai, dan ada dua pekerja tapi saya turut bantu mereka cuci kenderaan. Penat memanglah penat, tapi saya tak betah goyang kaki,” katanya.

Selain menguruskan kedai cuci kereta, dia juga turut meniaga pelbagai jenis produk secara atas talian dan membuat perkhidmatan penghantaran serta pengeposan.

Jana pendapatan lumayan

Katanya Nur Liyana, kedainya turut menawarkan perkhidmatan untuk kenderaan berat seperti lori.

Ujarnya, dia memerlukan lebih satu jam untuk mencuci sebuah lori dan bayaran dikenakan sehingga RM35.

“Untuk kereta biasa, hanya RM13 saja manakala pacuan empat roda dari RM15 hingga RM25, bergantung tahap kekotoran. Selalunya jabatan serta agensi di daerah ini akan hantar pacuan empat roda mereka ke ke dai saya. Dalam masa sehari, lebih kurang 15 hingga 20 kenderaan yang saya basuh.

“Paling sikit pun, 10 biji dan biasanya pendapatan saya melebihi RM200 sehari. Kedai saya dibuka Ahad hingga Khamis saja kerana Jumaat dan Sabtu waktu saya berehat,” katanya lagi.

Nur Liyana mengenakan bayaran dari RM25 hingga RM35 untuk perkhidmatan mencuci lori.

Ditanya mengenai modal yang digunakan untuk membuka perniagaan mencuci kereta, Nur Liyana berkata, dia berhabis hampir RM50,000 bagi melengkapkan alatan kedai dan perkhidmatan cuci kereta ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan rezeki ini kerana walaupun saya hanya belajar sampai tingkatan lima saja, saya mampu berjaya dalam perniagaan sendiri.

“Jika ada yang bertanya adakah saya mahu teruskan perniagaan ini ataupun bekerja makan gaji, saya pilih perniagaan ini kerana minat saya lebih kepada sektor niaga,” katanya lagi.

Kredit : Sinar Harian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *