Rakyat Kelantan menderita era Mahathir – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU 26 Ogos – Rakyat menderita bukan ke­rana kegagalan Kerajaan Pas Kelantan mentadbir negeri ini sebagaimana didakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebaliknya ke­rana tekanan oleh Kerajaan Pusat ketika era peme­rintahan bekas Perdana Menteri itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Dr. Mahathir mungkin sudah lupa, namun rakyat Kelantan tidak pernah lupa bagaimana beliau meng­aniayai negeri ini hanya kerana mereka menyokong Pas.

Katanya, antara pengalaman perit negeri ini sepanjang Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri termasuklah ditekan, dinafikan hak dan dipinggirkan dalam pelbagai aspek berbanding negeri-negeri lain.

“Dr. Mahathir lupa rakyat menderita lebih banyak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, iaitu selepas kerajaan negeri berubah daripada UMNO kepada Pas.

Baca juga : Dr. Mahathir Kata Kerajaan PAS Kelantan Gagal

“Selama lebih 20 tahun, beli­au bagi banyak tekanan kepada Ke­lantan. Sekarang beliau nak kata mahu dapatkan kembali mandat dari rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika melancarkan Pakatan Harapan Kelantan semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Kerajaan Pas Kelantan gagal mentadbir negeri ini dengan baik meskipun telah diberi peluang memerintah sejak 27 tahun lalu.

Ditanya laporan Straits Times Singapura mengenai konspirasi pakatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presi­den Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam PRU-14, Takiyuddin menafikan wujudnya kerjasama seumpama itu.

“Kalau setakat buat cerita tanpa asas, siapa pun boleh buat. Saya minta mereka yang membuat dakwaan tersebut mengemukakan bukti dan hujah menyokong perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berharap kerjasama lebih kukuh dapat dijalin di antara Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan agar nasib rakyat negeri itu terus terbela.

Ahmad berkata, ia selaras de­ngan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah negara yang maju menje­lang 2020.

“Kita akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk sama-sama membantu rakyat Kelantan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Kelantan di pekara­ngan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perda­gangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sumber :  Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *