Rakyat Kelantan Mampu Berubah

Oleh: DAUD50

Ketika saya belajar di luar negara, saya perhatikan ‘Islamophobia’ itu benar-benar wujud. Di kaca mata sesetengah pihak, umat Islam masih digambarkan sebagai masyarakat mundur dan miskin. Memang benar propaganda untuk memburukkan Islam berlaku di seluruh dunia, tetapi adakah masyarakat Islam sendiri turut memainkan peranan seolah-olah mengiyakan persepsi tersebut.

Memandangkan kemajuan merupakan suatu fitrah bagi manusia, kedatangan Islam sepatutnya menjadi pelengkap kepada tuntutan fitrah tersebut. Malangnya masyarakat Islam masa kini jarang-jarang sekali dikaitkan dengan kemajuan.

Pada hari ini, dunia Arab berpecah-belah dan zaman kegemilangan bagi kebanyakan negara-negara di timur tengah telah berlalu. Di Malaysia pula, kita melihat negeri-negeri termiskin di Semenanjung adalah negeri yang penduduk majoritinya adalah Melayu Islam termasuklah Kelantan, iaitu kampung halaman saya sendiri.

Kadar Pengangguran

Tergerak hati saya untuk menulis artikel ini kerana saya terkejut mendapati sebahagian besar golongan siswazah Kelantan susah untuk mendapatkan pekerjaan setaraf dengan ijazah mereka atau lebih teruk, tiada pekerjaan langsung di negeri sendiri. Mengikut laporan MIDF Research yang dikeluarkan pada 9 Mei 2017, Kelantan mempunyai kadar pengangguran yang tertinggi di Malaysia pada 2016 iaitu pada kadar 13.8% untuk golongan bawah 25 tahun. Kadar pengangguran di kalangan siswazah tidak pernah turun sejak tahun 2011.

Ini amat menyedihkan kerana ramai anak Kelantan mahu menabur bakti di negeri sendiri berbanding dengan di negeri orang.

Graf menunjukkan kadar pengangguran di negeri-negeri dalam Malaysia untuk golongan 25 tahun ke bawah pada tahun 2016
Kadar pengangguran untuk golongan 25 tahun ke bawah daripada tahun 2011

Saya melihat sendiri golongan siswazah terpaksa bekerja sebagai pelayan di stesen minyak (bukan juruwang, tetapi pelayan di luar) dan antara tugas mereka adalah menggilap tayar dan cermin kereta kepada pelanggan-pelanggan yang datang. Bukan niat saya untuk memandang rendah kepada pekerjaan tersebut, tetapi apalah gunanya bersusah payah belajar hingga ke menara gading tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dituntut selama belasan tahun.

Ini menjadi satu indikator bahawa kerajaan negeri gagal memanfaatkan kepakaran anak muda di Kelantan dan kita tidak boleh menafikan kegagalan ini menjadi satu faktor mengapa Kelantan gagal untuk maju ke hadapan. Maka tidak hairanlah Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan data yang menunjukkan purata pendapatan penduduk di Kuala Lumpur hampir lapan kali lebih tinggi daripada penduduk di Kelantan.

Saya ingin menekankan perlu adanya kebangkitan semangat baharu di Kelantan terutamanya di kalangan golongan muda untuk mengubah nasib negeri ini agar tidak ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri lain tatkala Malaysia sedang membina negara bangsa Transformasi Nasional 2050 untuk menjadi antara 20 negara terhebat di dunia.

Kelantan Negeri Serambi Mekah

Kelantan Negeri Serambi Mekah

Tiada gunanya Kelantan diberi gelaran “serambi Mekah” sedangkan secara realitinya ia adalah negeri yang mundur. Bukankah lebih baik jika kerajaan di bawah pentadbiran orang Islam itu mencerminkan kemajuan dan kegemilangan?

Sebagai negeri yang dikatakan kuat pegangan agama, Kelantan seharusnya menjadi “role-model” kepada negeri-negeri lain; sekali gus membuktikan bahawa negeri yang majoritinya penduduk Islam Melayu mampu bersaing. Kita perlu berusaha agar Islam tidak lagi dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan dan kaum Melayu tidak lagi dikategorikan sebagai “pemalas”.

Kesetiaan Membuta Tuli

Sudah pastinya perubahan ini akan mengambil sedikit masa, tetapi usaha itu harus bermula pada saat ini. Cukuplah mengundi sesebuah parti berdasarkan kesetiaan membuta tuli. Kita mendakwa mengundi sesebuah parti kerana Islam sedangkan parti itu gagal mengangkat martabat agama Islam itu sendiri di negeri yang diperintahnya. Janganlah percaya lagi dengan janji-janji kosong seperti mengutip derma untuk membina lebuh raya dan marilah berfikir dan menilai demi kebaikan sejagat.

Tiada gunanya kita memangkah parti yang sama setiap tahun, tetapi isu longkang dan sampah pun gagal diselesaikan sehingga kita terpaksa “redha” setiap kali rumah kita dimasuki air. Ingatlah dalam kita bakal memasuki tahun baharu 2018, rakyat Kelantan masih hidup seolah-olah dalam tahun 90-an.

Jangan pula kita kata, semua parti politik adalah sama sahaja. Mungkin kita tidak sedar, Parlimen Ketereh berjaya membawa pembangunan bernilai hampir RM1 bilion dalam masa empat tahun yang bakal menjadi ‘Game Changer’ untuk penduduk di situ. Realitinya Kelantan mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur. Banyak industri yang unik masih belum dimajukan dengan betul bagi membuka peluang perniagaan dan pekerjaan.

Pemilihan untuk PRU14 ini akan menjadi bukti komitmen generasi muda untuk melakukan perubahan dan saya amat berharap mereka akan melakukan anjakan itu. Walaupun Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bakal merangsang ekonomi negeri Kelantan tetapi rakyat Kelantan mungkin tidak dapat merasai manfaatnya jika pentadbiran negeri lemah.

Bina Kelantan Bersama

Pastinya ada segelintir yang tidak akan bersetuju dengan apa yang telah saya katakan tetapi tidak mengapa. Apa yang penting ialah supaya kita tidak beremosi dalam perbincangan politik dan hala tuju negeri kita. Kita perlu sedar kemajuan merupakan tema utama seruan agama Islam seperti yang kita saksikan ketika kegemilangan pemerintahan Islam dahulu.

Justeru, saya menyeru supaya semua pihak terutamanya golongan muda memulakan diskusi secara intelek demi kebaikan bersama. Perbezaan pendapat haruslah dihormati asalkan kita semua mempunyai niat yang sama iaitu untuk melihat Kelantan maju dan mengangkat martabat Islam.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *