Penuntut UMK cedera dilibas pisau

KOTA BHARU – Malang tidak berbau apabila seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota mendakwa gajet I-Pad miliknya disamun, manakala perutnya menerima 15 jahitan terkena libasan pisau dalam kejadian, Jumaat lalu.

Mangsa, Thong Soon Hock, 22, berkata, dalam kejadian 29 September lalu kira-kira jam 9 malam dia berada berseorangan di laman siswa bersebelahan kampus universiti.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, ketika berada di laman berkenan, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki yang tidak dikenali.

“Salah seorang daripada mereka menghampirinya lalu merampas i-Pad yang dipegang, bagaimanapun, semasa saya cuba mengambilnya semula, lelaki terbabit mengeluarkan pisau dan melibasnya sehingga terkena perut serta mengalami luka kecil di siku dan kaki akibat terjatuh.

“Selepas kejadian, rakan serumah membawa saya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) II dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui pemberita di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan pada 30 September lalu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu.

Soon Hock berharap dua individu berkenaan dapat ditangkap dan perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat MCA Kebangsaan, Chua Hock Kuan berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang berlaku terutamanya di kawasan tumpuan mahasiswa.

“Kita tidak mahu isu keselamatan terutama membabitkan penuntut berlaku di sekitar kawasan kampus kerana boleh menjejaskan tumpuan pengajian mereka.

“Bagi memastikan keselamatan di kawasan Kampus Kota di Pengkalan Chepa, saya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk melakukan rondaan cegah jenayah dan memakai pakaian biasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dengan sengaja dan menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *