Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh enggan pindah, tunggu keputusan rayuan di mahkamah

PASIR PUTEH: Sebilangan besar daripada 516 peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh di sini, enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar sebelum menerima keputusan daripada Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman yang dibuat mereka Ogos lepas.

Pengerusi Peniaga Kecil dan Pembekal Pasar Besar Pasir Puteh Kamarzaman Che Ngah berkata pihaknya akan berpindah ke pasar baharu berkenaan sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan tidak memihak kepada mereka.

“Sekarang kami sedang menunggu rayuan dan dalam masa yang sama, kami berharap Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dapat menangguhkan tempoh arahan berpindah bermula hari ini sehingga Ahad depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pasar (lama) di sini, pada Ahad.

Yang Dipertua MDPP Mohd Anis Hussein sebelum ini memberikan tempoh kepada kumpulan peniaga tersebut berpindah ke pasar baharu bermula hari ini sehingga Ahad depan.

Pada 27 Ogos lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan MDPP untuk membatalkan tuntutan saman oleh 258 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati kes berkenaan belum matang kerana tiada bukti konkrit yang membolehkan plaintif menuntut ganti rugi terhadap defendan.

Kamarzaman berkata peniaga enggan berpindah ke pasar baharu kerana petak jualannya hanya berukuran 3×5 kaki persegi berbanding 6×6 kaki persegi di pasar lama.

Beliau berkata selain itu lokasi pasar baharu juga tidak strategik kerana jauh daripada kawasan tumpuan serta kadar sewa yang dikenakan juga tinggi iaitu RM200 sebulan berbanding RM1 sehari di tempat lama.

— BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *