‘Pengerusi SPR celupar tuduh orang Kelantan kaki kelab malam’

PUTRAJAYA,29/10/2018,Protem President Datuk Ibrahim Ali give a press conference about status registration about PUTERA at ROS Putrajaya,MALAY MAIL/AZINUDDIN GHAZALI

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali memendam amarah selama tiga hari terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini semua gara-gara kenyataan Azizan Azhar Harun mengenai rakyat Kelantan kaki kelab malam.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pada mulanya beliau enggan memberi respon tetapi kerana didesak oleh anak-anak Kelantan supaya menyuarakan perkara itu, beliau akhirnya terpaksa ‘buka mulut.’

“Saya menahan perasan marah sudah tiga hari tetapi akhirnya tiada pilihan untuk memberi respon kerana dihujani oleh anak-anak Kelantan yang mendesak saya supaya turut menyuarakan kecaman terhadap Azhar Harun.

“Sememangnya sebagai anak jati Kelantan saya mengecam keras atas keceluparan dan kebiadaban Pengerusi SPR itu atas kenyataan yang jelas menghina rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Azhar sebelum ini dilaporkan portal sebagai berkata, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat mula-mula dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Azhar berkata, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Menurut Ibrahim, tuduhan Pengerusi SPR itu secara umum seolah semua rakyat negeri Serambi Mekah yang berada di luar Kelantan adalah kaki kelab.

“Kaki kelab boleh membawa pelbagai persepsi seperti kaki arak, kaki maksiat dan kaki karaoke. Ia menggambarkan seolah rakyat Kelantan ini golongan yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Sungguh biadab.

“Kalau disebut kaki kelab, ada segelintir manusia yang merentasi sempadan dan kaum, memang suka ke kelab mungkin termasuk Azhar Harun sendiri,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, budaya itu adalah budaya golongan yang mendokong cara hidup liberalisme di mana ada individu yang tidak menghayati cara hidup Islam.

“Semua pihak tahu gaya hidup Azhar Harun dan keluarganya. Kata dulang paku serpih, kata orang kita yang lebih.

“Azhar Harun orang berpendidikan dan pengamal undang-undang dan kini Pengerusi SPR. Kata-kata tuduhannya kepada rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan mencerminkan betapa rendah nilai budi pekertinya dan tidak mengambarkan seorang intelektual, tapi diseliputi egoism,” tegas Ibrahim.

Beliau tidak mendesak Azhar Harun menarik balik tuduhannya atau meminta maaf, tetapi wajar anak Kelantan yang berada di luar supaya ambil ingatan dan merekodkan penghinaan Pengerusi SPR yang tidak sopan itu. – MalaysiaGazette

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *