Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan kematian empat sekeluarga

GUA MUSANG: Seorang pemandu treler beras hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut pada 29 September lepas.

Tertuduh, Ismail Mohammad Zain, 31, didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini pada 7.50 pagi, 29 September.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Dalam kemalangan itu menyebabkan Zainuddin Anuar, 30 tahun, isterinya Raizuamira Daud, 31 tahun, anak mereka Nur Anissa Sofea, 2 tahun, dan ZayyanNazarel, 13 hari maut ditempat kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail yang mengendalikan kes berkenaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimana pun, Ismail yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan kerana dia penanggung keluarga kepada dua orang anak dan isterinya.

Majistret Mohd. Rosly Mohamed Nawi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.

Tertuduh bagaimana pun membayar wang jaminan tersebut.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *