Pejabat UMNO Kubang Kerian Dipecah Masuk

KOTA BHARU 4 Okt. – Pejabat UMNO Bahagian Kubang Kerian di Jalan Hilir Pasar di sini dipecah masuk penjenayah yang bertindak melarikan pelbagai jenis dokumen dan wang tunai.

Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pekerja di pejabat itu kira-kira pukul 8 pagi setelah mendapati pintu kaca di hadapan bangunan diumpil dan pintu jeriji dipecahkan.

Pejabat dipecah masuk mengakibatkan dokumen dan wang tunai hilang.

Pegawai Teknologi Maklumat (IT) pejabat itu, Che Azrul Shazwan Che Johan, berkata, beliau mendapati dokumen yang terletak dalam bilikny berselerak ketika tiba di pejabat itu pagi ini.

“Saya memeriksa lima lagi bilik di tingkat dua pejabat itu mendapati wang tunai juga telah dilarikan oleh suspek.

“Cuma yang menimbulkan tanda tanya ialah komputer riba yang berada di pejabat tidak dilarikan suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, pejabat UMNO di sini sudah dipecah masuk dua kali dalam tempoh setahun ini.

“Saya percaya suspek memasuki pejabat ini malam tadi hingga awal pagi. Kita akan meningkatkan aspek keselamatan memandangkan banyak dokumen disimpan di pejabat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *