Nik Omar Alat Tutup Kelemahan

KOTA BHARU 30 April – Sesi berkempen yang kini memasuki hari ketiga menyaksikan gabungan pembangkang PKR cuba menyembunyikan kelemahan dasarnya yang tidak Islamik serta arah tuju perjuangan yang tidak jelas dengan cara menjaja nama Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Perkara itu terbukti apabila topik utama sebaran maklumat parti itu menerusi media sosial serta kandungan ceramah pemimpinnya didominasi cerita kesanggupan anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding atas tiket PKR di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semakin kerap gabungan pembangkang tersebut terutama komponennya, PAN ‘menjaja’ nama Nik Omar ketika berkempen, kian terbukti pemimpinnya tidak mempunyai keyakinan terhadap dasar parti itu sendiri.

“Sesebuah parti tidak boleh jaja hanya satu orang individu. Sebagai contoh, Pas tidak boleh jaja nama Nik Abduh sahaja, tetapi dia perlu jaja apakah dasar yang Pas bawa kepada rakyat.

“Begitu juga PAN, dia hanya jaja Nik Omar sahaja sedangkan persoalan utama apa dasar PAN? Bagaimana pendirian PAN sebelum ini yang bersekongkol dengan DAP menentang Islam. Sedangkan DAP diketahui ada rekod buruk tidak menyokong perjuangan Islam dan Melayu.

“Saya fikir itu lebih penting berbanding soal Nik Omar jadi calon PKR. Dia masuk PAN tidak jadikan PAN lebih baik. (Datuk) Zaid Ibrahim masuk DAP tidak jadikan DAP lebih baik. Pas pernah bersama DAP, tetapi DAP tidak juga jadi baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Penyerahan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan Sri Melor, di sini hari ini.

Annuar yang juga calon BN Parlimen Ketereh berkata, berdasarkan rekod pencapaian, beliau secara peribadi percaya kemampuan adik Nik Omar iaitu Nik Mohamad Abduh lebih diyakini kerana bekas Ketua Pemuda Pas itu lebih aktif berjuang di sisi arwah bapa mereka. – UTUSAN ONLINE

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *