Negeri Serambi Mekah, Tetapi….

Kelantan Negeri Serambi Mekah dikatakan negeri di perintah oleh Kerajaan Islam. Tidak ada negeri yang lebih Islamik di Tanah Melayu kecuali negeri itu.

Jika bermudik di negeri yang dinamakan Negeri Serambi Mekah itu, maka terbentanglah bukti keIslamannya. Apa tidaknya, bangunannya semuanya bercorakkan Islam, rasa seperti di tanah Arab.

Pun begitu, di tanamlah juga pokok-pokok kurma di ibu negeri itu walaupun tidak berbuah biarpun berulang kali musim kurma di Madinah sudah berakhir.

Pemimpinnya pula berjubah putih dan berserban besar. Menjadi contoh kepada rakyat, daripada memakai semutar kain batik bertukar kepada serban. Itukan namanya Islam.

Berceritalah juga rakyatnya mengenai Islam. Pagi petang, siang malam. Dari jurai masjid sehingga ke kedai kopi. Hukum hakam tidak pernah lekang dari mulut.

Dikatakan juga, pemimpinnya sengaja melambatkan pembangunan. Takut rakyat tidak terikut. Bimbang rakyat jadi setan macam negeri di pantai barat.

Lalu dibiarkan begitu sahaja negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu. Bangunlah ia secara semula jadi kerana mahu pastikan Islam itu terus mekar dan subur.

Maka tersohorlah negeri Serambi Mekah itu ke seluruh Tanah Melayu. Dari mulut ke mulut bercerita mengenai negeri Islam ini. Dan pengunjungnya juga amatlah teruja, celik mata kelilingnya Islam.

Bangunannya, batang tubuh pemimpinya dan percakapan rakyatnya tidak lain dan tidak bukan hanya mengenai Islam.

Sudah 27 tahun kerajaan daripada parti Islam memerintah. Kalau yang beranak pada tahun 1990 sekarang sudah umur 27 tahun. Sudah boleh berbini dan kalau perempuan pula sudah boleh ‘berlaki’.

Arakian pada satu petang, geger di sebuah masjid. Seorang anak muda diigak (tangkap) kerana mengail tabung masjid, tidak di dalam parit di depan masjid.

Riuh rendah kampung tersebut. Anak si polan ditangkap. Matanya bulat besar. Kata orang yang menangkap, “itu tanda pil kuda”.

“Punah habis budak kampung dengan ‘kuda’,” kata penangkap yang sebelum itu berang kerana motosikalnya juga hilang dicuri.

Pil kuda dari Thailand. Dan pengguna terbesarnya adalah dikatakan di negeri itu. Malah dahulu juga dikatakan penghidap penyakit HIV teramai di negeri itu.

Oh ya, negeri ini membangun bersama Islam. Semuanya Islam, ada sekolah dinamakan Pasti untuk anak berusia 6 tahun di bawa sekolah YIK. Katanya, kurikulum negeri ini yang terbaik untuk membentuk insan kamil.

Kuda dan HIV ini makanan anak muda yang pastinya berusia 20-an sehingga 40-an yang mendapat pendidikan dan ditarbiyah daripada Kerajaan Islam ini.

Dan begitulah jua jika dibawa ke Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa. Terlampau banyaklah kilang sampai ada yang tumbuh lalang.

Terang lagi bersuluh perihal kurangnya pekerjaan di negeri ini. Menanam anggurlah anak-anak mudanya sambil-sambil menunggang kuda.

Indahnya Negeri Serambi Mekah

Malah, dari sudut kebersihan juga, ia pernah mendapat kritikan seorang ahli akademik yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tahap kebersihan negeri itu yang menurutnya kotor dan memalukan.

Kata Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff, isu kebersihan negeri yang diberi jolokan serambi Mekah itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia berlaku sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan juga tidak sepatutnya menjadikan alasan tiada dana kewangan yang cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut, kerana mereka boleh meminta bantuan daripada pusat.

“Pesan saya kepada kerajaan negeri, janganlah selalu memberi alasan tiada duit kerana diskriminasi kerajaan pusat apabila gagal menyediakan keperluan asas rakyat.

“Malulah kita negeri yang ‘Membangun Bersama Islam’ jika mengambil mudah kepada hal menjaga kebersihan dan keperluan rakyat.

“Jika sungguh tidak ada duit, mintalah bantuan kerajaan pusat. Dengan hubungan politik yang baik di bawah payung ‘politik matang dan sejahtera’ sekarang, bantuan itu diberikan,” kata Agus dalam Facebooknya sebelum ini.

Beliau turut menasihati kerajaan Kelantan menjadikan Melaka dan Negeri Sembilan sebagai contoh dalam hal kebersihan.

“Bukan sahaja bandarnya bersih, kampung-kampungnya juga dijaga bersih. Mengapa kita tidak boleh lakukan hal yang sama di negeri kita?” katanya.

Sumber – Sokmo.net

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *