Musang King berasal dari Tanah Merah

TANAH MERAH – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan disarankan supaya mempromosikan fakta sejarah tentang Musang King kerana tidak ramai mengetahui durian jenis itu sebenarnya berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, langkah itu sekali gus membolehkan tempat asal raja durian itu menjadi destinasi tarikan pelancong khususnya kepada para penggemar Musang King.

“Durian Musang King sememangnya diketahui cukup masyhur sehingga mendapat sambutan di luar negara antaranya China. Saya rasa ramai di dalam Dewan Rakyat ini, ramai Ahli Parlimen juga tidak mengetahui bahawa buah durian bermutu tinggi itu berasal dari kawasan Parlimen saya.

“Saya percaya apabila promosi itu dilakukan, orang ramai khususnya mereka yang menggemari buah itu boleh datang ke Tanah Merah serta melihat tempat asal usul raja durian yang begitu hebat dan mashyur,” katanya ketika membahaskan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, berhubung isu larangan bertudung bagi pekerja wanita beragama Islam di hotel, Ikmal Hisham mencadangkan kepada kementerian untuk mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha hotel di negara ini termasuk yang bertaraf antarabangsa untuk memberi garis panduan jelas mengenai polisi yang ingin dilaksanakan.

“Dalam apa keadaan sekali pun, Islam adalah agama Persekutuan yang perlu dihormati oleh semua pihak dan apa juga mereka lakukan termasuklah dalam pelaksanaan polisi di sesebuah hotel mesti menghormati kedudukan tersebut,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *