Mengapa Nik Amar kata Kelantan tak patut contohi Selangor?

Merujuk kepada satu laporan di Malaysiakini, Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata bahawa pembangunan fizikal Kelantan sengaja dilambatkan. Nik Amar dipetik berkata:

“Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.”

Kenyataan sebegini sekali imbas mungkin melucukan dan menggambarkan betapa pincangnya dasar Kerajaan PAS di Kelantan dalam tadbir urus negeri. Kegagalan kerajaan PAS Kelantan mengaitkan pembangunan pesat dengan nikmat kebaikan yang dirasai rakyat memberikan gambaran sebuah kerajaan yang lebih kuat beri alasan berbanding betul-betul melakukan yang terbaik buat rakyat.

Seiring dengan pembangunan pesat Selangor, rakyat Selangor menikmati pelbagai manfaat melalui skim-skim dan inisiatif-inisiatif. Yang kini dipanggil Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Terbaru, kerajaan negeri Selangor melancarkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang membantu kaum ibu berpendapatan rendah, yang mana penerima akan memperoleh bantuan kewangan bagi pembelian keperluan asas. Manfaat yang dinikmati rakyat Selangor bermula dari baru lahir sehinggalah mencapai usia emas.

Jelas hujah Nik Amar mengenepikan kepentingan pembangunan, kononnya atas alasan supaya rakyat menikmati kebaikan lebih kurang seperti peribahasa ‘besar bungkus tak berisi’.

Tanpa segan silu Nik Amar juga memberikan satu contoh yang pada hemat saya sangat ironi. Nik Amar memberikan contoh bagaimana di Langkawi, “membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari.”

Kerajaan PAS Kelantan lupa pada hakikat disebabkan pembangunan yang perlahan, mereka turut gagal menyediakan peluang pekerjaan. Akhirnya ramai rakyat Kelantan, termasuk saya sendiri terpaksa berhijrah keluar daripada Kelantan untuk mencari rezeki.

Meskipun Nik Amar mengatakan Kelantan tidak boleh mencontohi Selangor kerana nanti rakyatnya ada yang ketinggalan, Nik Amar lupa bahawa ramai dari kalangan anak Kelantan berhijrah ke Selangor untuk mencari rezeki dan kini menikmati pelbagai manfaat.

Kenyataan yang dibuat oleh Nik Amar dilihat bertujuan untuk menutup ketidakupayaan dan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri. Hutan semakin botak, duit habis diratah, pembangunan tetap tak nampak. Sebagai anak Kelantan yang turut terpaksa berhijrah keluar dari Kelantan, kenyataan Nik Amar itu cukup menyakitkan hati.

Nik Amar perlu ingat, pilihan raya umum (PRU) yang lepas mereka kekal pun atas faktor pengundi yang tinggal di luar Kelantan. Rakyat Kelantan yang masih berada di Kelantan sendiri tentu sudah lelah dengan kerajaan yang langsung tidak ambil peduli tentang kebajikan mereka. PRU-14 akan datang, saya menjangkakan rakyat Kelantan akan bangkit dan melontarkan mesej kepada PAS bahawa jika mereka pembangunan perlahan, maka semua pemimpin yang di atas akan diturunkan dengan pantas.

*Ahmad Irfan Hani adalah Ahli Majlis Perbandaran Selayang. Beliau berasal dari Kelantan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *