Melaka United tawar kontrak kepada Apek

MELAKA: Melaka United akan menawarkan kontrak kepada penjaga gol berpengalaman Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat bagi saingan Liga Super musim depan.

Pengurus Melaka, Datuk Yusoff Mahadi berkata, Khairul Fahmi atau Apek dilihat masih antara penjaga gol terbaik di negara ini menyebabkan skuad Hang Tuah sedia menawarkan kontrak kepadanya.

Sebelum ini ada ura-ura Khairul Fahmi beraksi bersama Melaka musim ini, namun cerita itu senyap begitu saja kerana tiada rundingan lanjut dengannya tambahan Melaka mengamalkan bajet berhemah dengan menyenaraikan empat penjaga gol muda pada saingan 2017.

Menurutnya, dengan statistik bolos 43 gol ia dilihat jumlah yang amat besar buat skuad Hang Tuah musim ini menyebabkan mereka berkira-kira untuk mendapatkan khidmat Khairul Fahmi.

AKSI Khairul Fahmi Che Mat (kanan) cuba menyelamatkan gawangnya daripada bolosi pada Perlawanan Liga Super 2017 menentang di Stadium Hang Jebat, Krubong. – Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Bukan setakat Khairul Fahmi, malah mungkin tiga lagi pemain Kelantan berada dalam perancangan skuad itu berdasarkan apa yang dilihat ketika Melaka bertemu pelawat pada saingan terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

“Namun semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan dengan lebih lanjut. Malah ia juga perlu ada dalam perancangan jurulatih Eduardo Almeida untuk menyenaraikan pemain yang dimaksudkan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Fahmi ketika ditemui berkata, dia akan memikirkan tawaran mana-mana pasukan termasuk Melaka.

Sumber – BHarian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *