Masyarakat Siam marah, mahu jatuhkan Pas Kelantan

KUALA LUMPUR – Mungkin Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak sedar kenyataan balasnya kepada tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar parti, telah menghina masyarakat Siam Kelantan.

Dengan mengatakan Mahfuz sekarang sudah jadi anak jantan, bukan lagi ‘pondan Siam’ menyebabkan kaum Siam di negeri itu marah dan kecewa dengan penghinaan itu.

Serentak itu juga, wakil masyarakat Siam yang mahu dikenali sebagai Beng Khieu mahu Timbalan Menteri Besar Kelantan itu meminta maaf kepada mereka kerana mengaitkan ‘pondan’ dengan keturunan Siam.

“Ayuh, kaum Siamku sekalian. Buktikan kejantanan kaum Siam Kelantan sejati dengan menutup penghinaan ini ke atas kaum kita.

“Mengapa dia (Mohd Amar) tidak ambil (panggilkan) kaum Melayu, Cina, India, Sikh, Portugis atau Iban untuk dijadikan bahan hinaan dia kepada Mahfuz? Mengapa harus kaum Siam?

“Beginikah taraf (layanan) pemimpin Pas kepada kaum kita? Kita tidak perlu buat laporan polis, kita tidak perlu bakar gambar pondan Pas ini, kita tidak perlu buat huru hara. Kita kaum cerdik. Jadikan PRU 14 ini untuk balas dendam,” kata beliau semalam.

Beng Khieu mengulas kenyataan Mohd Amar pada 31 Disember lalu yang menyifatkan Mahfuz akhirnya bertindak sebagai anak jantan, bukannya ‘pondan Siam’.

Malah, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mahfuz kerana akhirnya keluar dari Pas.

Mengulas lanjut, Beng Khieu berkata, masyarakat Siam di Kelantan tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana tahu itulah taraf atau layanan pemimpin Pas kepada kaum mereka.

“Mereka bergaduh sesama sendiri, maruah kita pula dijadikan bahan penghinaan.

“Jika (Mohd Amar) panggil ‘pondan Thai’ kita tak marah, ini dia panggil ‘pondan Siam’. Hina sangatkah kaum Siam? Kita pereboh (jatuhkan) Pas Kelantan PRU 14 ini,” ujar beliau.

– MalaysiaGazette

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *