Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 11,341 orang setakat pukul 5 petang ini berbanding 8,574 orang, empat jam sebelum itu.

Kesemua mangsa ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 7,035 orang daripada 2,847 keluarga yang dipindahkan ke 40 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,499 mangsa daripada 376 keluarga dipindahkan ke 13 PPS.

Sebanyak 19 PPS dibuka di Tanah Merah menempatkan 835 mangsa daripada 245 keluarga manakala 819 orang daripada 244 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh.

Di Bachok pula, seramai 313 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala 385 mangsa daripada 115 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Machang.

Selain itu, di Kuala Krai, seramai 282 mangsa daripada 74 keluarga dipindahkan ke enam PPS, 40 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Jeli dan 133 mangsa membabitkan 39 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Tumpat.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.66 meter pada pukul 5 petang berbanding 10.61 meter pada 12 tengah hari tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula berada di paras bahaya iaitu 3.42 meter (bahaya 2.50 meter).

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga petang ini manakala hujan kadangkala lebat masih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

– Bernama

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *