Lima beradik terabai kini ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak

KOTA BHARU: Lima beradik yang ditemui hidup terabai dalam keadaan kotor, tidak bersekolah dan tinggal dalam sebuah rumah bersama ibunya yang juga seorang penagih dadah kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Pahang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sudip, turut memaklumkan kesemua mereka yang tinggal di Kampung Bawah Lembah, Paloh Pintu Geng, di sini itu juga tidak mempunyai Sijil Kelahiran.

Menurut beliau, pada masa ini JKM masih menunggu waris keluarga berkenaan untuk tampil membantu memberikan maklumat termasuk untuk urusan Sijil Kelahiran mereka.

Lima beradik yang berusia 11, sembilan, lapan dan enam tahun serta lapan bulan ditemui terbiar dan tidak terurus sewaktu Astro AWANI membuat tinjauan mengejut ke kediaman mereka pada 6 Oktober lepas.

“Kita tempatkan kanak-kanak ini di Penor, Kuantan, sementara kami menunggu dan mencari waris terdekat. Apabila jumpa kita akan serah kepada waris sekiranya tidak jumpa kita akan terus menjaga mereka sementara.

“Manakala kami dapati ibu mereka telah ditahan pihak polis dan positif dadah. JKM hanya menyelamatkan kanak-kanak ini, setakat ini waris tidak tampil lagi, untuk kita lantik ‘head person’ dan kalau mereka sanggup menjaga kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Said lagi, kesemua lima beradik itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan berada dalam keadaan sihat di pusat jagaan berkenaan.

Mereka akan dimasukkan ke sekolah selepas proses dokumentasi berkaitan Sijil Kelahiran kanak-kanak terbabit selesai.

Beliau menjelaskan, pihak JKM telah bertindak sehari selepas mendapat maklumat dan tersebarnya berita berkenaan iaitu pada 7 Oktober lepas.

Susulan itu juga JKM telah membawa lima beradik berkenaan ke hospital selepas mengambil mereka dari ibu mereka sebelum mendapatkan perintah mahkamah pada 8 Oktober lalu untuk hak penjagaan sementara.

SUMBER -ASTRO AWANI

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *