Landasan kereta api Pasir Mas-Tanah Merah tenggelam

PASIR MAS – Banjir di Kelantan telah menenggelamkan landasan kereta api laluan antara Pasir Mas – Tanah Merah di Kilometer 490 hingga Kilo­meter 493 pada pukul 9.45 pagi hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui kenyataan berkata, perkara itu mengaki­bat­­kan landasan antara laluan Stesen Tumpat dan Stesen Ta­nah Merah terpaksa ditutup.

“KTMB terpaksa berbuat demikian atas faktor keselamatan. Penumpang tren Intercity dan Shuttle sektor Pantai Timur yang ingin membatalkan perjalanan layak untuk mendapatkan pemulangan tambang penuh.

“Mereka juga boleh membuat pertukaran tarikh perjalanan, namun ia bergantung kepada kekosongan tiket,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, per­khidmatan KTMB di kawasan terjejas banjir akan diteruskan dengan menggunakan bas, namun bergantung kepada kea­daan paras air banjir semasa.

“Penggunaan bas untuk ste­sen terlibat adalah tertakluk kepada keadaan jalan raya yang boleh dilalui dan pihak kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Orang ramai yang mempu­nyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *