Kewangan kerajaan negeri Kelantan tenat? – Ikmal Hazlan bin Ikmal Hisham, Ahli Parlimen Belia Kelantan

Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan: Suatu Kupasan

Rakyat Malaysia boleh menarik lafaz lega akan prestasi ekonomi negara yang kini kukuh. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus dengan penggunaan swasta yang tinggi dan pelaburan sebagai pemacu utama pertumbuhan disokong oleh prestasi bertambah baik sektor luar.

Malaysia terus mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM18.9 bilion manakala kedua-dua eksport dan import berkembang pada 21.4 peratus dan 27.7 peratus, masing-masing kepada RM224.7 bilion dan RM205.8 bilion, dalam suku pertama 2017.

Pencapaian ini sepatutnya dapat dicerminkan di setiap negeri, namun saya yakin tidak banyak sumbangan daripada negeri Kelantan kepada prestasi cemerlang peringkat nasional.

Sebagai anak Kelantan, saya merasa terpanggil untuk mengupas prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kelantan. Bukanlah maksud saya hendak mengkritik, tetapi isu ini perlu dilihat sebagai peluang untuk penambahbaikan, demi kemaslahatan rakyat, khususnya rakyat Kelantan.

Pada tahun 2011 sehingga 2015, rizab tunai (Kumpulan Wang Disatukan) Kerajaan Negeri Kelantan merosot setiap tahun daripada RM234.47 juta pada tahun 2011 kepada hanya RM59.41 juta pada tahun 2015. Ini menunjukkan penurunan lebih 70% dalam tempoh 5 tahun.

Hasil Kerajaan Negeri Kelantan juga tidak mampu menampung perbelanjaan mengurus dan mencatatkan defisit setiap tahun sejak 2012. Defisit ini ditampung oleh Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai pemberian.

Untuk rekod, pada tahun 2016 sahaja Kerajaan Negeri Kelantan menerima sebanyak RM59,933,705 oleh Kerajaan Persekutuan untuk menampung kekurangan akaun mengurus. Kelemahan Kerajaan Negeri Kelantan terus dibantu tahun demi tahun atas semangat persekutuan. Ini menjadikan Kelantan antara negeri yang banyak dihulurkan bantuan oleh Kerajaan Persekutuan.

Daripada tahun 2011 sehingga 2015, cuma tahun 2011 mencatatkan lebihan iaitu RM3.13 juta, manakala tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015 mencatatkan defisit sebanyak RM69.69 juta, RM77.78 juta, RM50.46 juta dan RM85.75 juta.

Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2015 adalah tidak memuaskan berbanding tahun 2014 di mana terdapat peningkatan defisit berjumlah RM35.28 juta atau 69.9% pada tahun 2015 menjadikan jumlah defisit sebanyak RM85.75 juta berbanding defisit berjumlah RM50.46 juta pada tahun 2014.

Peningkatan defisit ini adalah disebabkan penurunan dalam kutipan hasil Kerajaan Negeri Kelantan dalam tahun 2015 yang berjumlah RM14.78 juta manakala perbelanjaan meningkat RM20.5 juta.

Teguran demi teguran dibuat oleh Ketua Audit Negara kepada Kerajaan Negeri Kelantan setiap tahun di atas prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang kurang memuaskan. Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kelantan pada akhir tahun 2015 secara keseluruhannya adalah sederhana.

Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mengalami penurunan sebanyak RM15.14 juta atau 20.3% daripada RM74.55 juta pada tahun 2014 kepada RM59.41 juta pada tahun 2015. Akaun Hasil Disatukan menurun sejumlah RM85.75 juta menjadi defisit RM722.12 juta pada tahun 2015 daripada defisit RM636.37 juta pada 2014.

Tunggakan bayaran pinjaman boleh tuntut daripada agensi Kerajaan Negeri telah meningkat daripada RM232.07 juta pada tahun 2014 kepada RM264.86 juta pada tahun 2015.

Pelaburan menurun daripada RM18.52 juta pada tahun 2014 kepada RM15.56 juta pada tahun 2015. Hutang awam pula meningkat daripada RM1.29 bilion pada tahun 2014 kepada RM 1.35 bilion pada tahun 2015. Tunggakan bayaran balik hutang awam kepada Kerajaan Persekutuan juga turut meningkat daripada RM304.84 juta pada tahun 2014 kepada RM348.09 juta pada tahun 2015.

Ketua Audit Negara mengesyorkan Kerajaan Negeri Kelantan meningkatkan usaha bagi mengutip tunggakan hasil berjumlah RM108.17 juta dan mengawal perbelanjaan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemat bagi memperkukuhkan kewangan Kerajaan Negeri.

Sebagai anak Kelantan, saya melihat banyak peluang di negeri Kelantan yang belum dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri. Negeri Terengganu telah menunjukkan bahawa mereka mampu menjadi negeri hub pelancongan dan perindustrian, di mana Kelantan masih lagi banyak ruang yang mampu diperbaiki.

Jumlah kedatangan pelancong ke Kelantan yang dicatatkan pada tahun 2016 adalah 5.8 juta dan dilihat lebih tinggi berbanding tahun 2015 iaitu seramai 5.1 juta.

Peningkatan ini adalah baik, namun, saya percaya angka yang lebih baik mampu dicapai jika sektor pelancongan negeri ditambah baik. Setakat ini, Kelantan banyak bergantung kepada keunikan seni warisan selain makanan tempatan dan kebudayaan yang mempunyai tarikan tersendiri.

Pasar Siti Khadijah

Saya percaya sekiranya lebih banyak tempat-tempat pelancongan yang mampu menarik pelancong dari luar dibangunkan, Kelantan akan menjadi salah satu negeri yang wajib disinggah oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Bertahun-tahun lamanya kawasan utama yang digemari pelancong cuma Wakaf Che Yeh, Pasar Siti Khadijah dan Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang.

Tiba masanya Kerajaan Negeri membangunkan kawasan-kawasan pantai sepertimana dilakukan oleh negeri Terengganu. Perkara pertama yang perlu dimulakan adalah membersihkan kawasan pantai yang kini tercemar dengan sampah sarap, dan seterusnya memberi fokus kepada pembangunan termasuk menambah aktiviti-aktiviti seperti sukan air dan taman tema air.

Sampah di Pantai Senok

Usaha ini pasti dapat menjana sumber ekonomi yang baik. Hari ini tumpuan kebanyakan pelancong masih terarah ke negeri Terengganu kerana mereka lebih ke hadapan dalam pembangunan kawasan pantai.

Bagi sektor industri pula, penting untuk Kerajaan Negeri membawa masuk lebih banyak pelabur ke negeri Kelantan. Namun, infrastruktur dan kemudahan asas khususnya masalah air perlu ditangani segera untuk menarik minat pelabur membuka kilang di negeri ini. Pembangunan sektor industri bukan sahaja dapat menambah sumber ekonomi, malah dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

Ketika ini, jutaan rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke luar negeri untuk mencari rezeki dek kerana kekurangan peluang pekerjaan di negeri sendiri. Apa yang dikhuatiri adalah mereka tidak akan lagi pulang ke negeri ini apabila suatu hari nanti tiada lagi ahli keluarga yang tinggal di negeri ini. Ini adalah satu kerugian besar bagi negeri Kelantan apabila ramai pakar-pakar kelahiran negeri Kelantan menyumbang bakti dan kepakaran mereka di negeri lain. Saya sentiasa membayangkan Kelantan suatu hari nanti akan mempunyai hub industri yang besar seperti Kertih dan Kemaman di Terengganu.

Bagi mengelakkan perbelanjaan pengurusan yang tinggi, Kerajaan Negeri Kelantan juga perlu mengawal dengan lebih rapat syarikat-syarikat milik kerajaan Negeri yang mencatatkan kerugian. Darul Digital Media Solutions Sdn. Bhd. (DDMS) melalui pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara bermula 20 Mac 2016 sehingga 20 Jun 2016 mendapat pengurusannya adalah kurang memuaskan. Syarikat subsidiari milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu mencatatkan kerugian bagi ketiga-tiga tahun yang diaudit dan kerugian terkumpul yang semakin meningkat sehingga RM3.21 juta. DDMS memperoleh pendapatan dengan melaksanakan aktiviti penganjuran kursus serta latihan dan menyediakan perkhidmatan multimedia serta ICT kepada agensi di bawah naungan Perbadanan Menteri Besar dan agensi swasta lain.

Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara telah dijalankan terhadap 2 aktiviti DDMS iaitu penganjuran Kursus Animasi dan Kursus Pembantu Juruteknik Sistem Komputer Tahap 2 (PJSKT2). Antara keputusan audit adalah bilangan pelajar yang tidak mencapai sasaran. DDMS mensasarkan 120 orang pelajar yang akan mendaftar bagi kursus animasi ini bagi setiap semester dan empat buah kelas telah disediakan.

Namun, semakan audit mendapati jumlah pelajar yang mendaftar dan mengikuti program bagi setiap semester bagi kursus asas animasi adalah di antara 5 hingga 23 orang pelajar atau 4.2% hingga 19% berbanding sasaran bagi setiap sesi kursus. Manakala bagi program PJSKT2 pula, jumlah pelajar yang mengikuti kursus PJSKT2 hanyalah seramai 15 orang sahaja. Kursus PJSKT2 ini juga hanya berjaya dilaksanakan untuk satu sesi pengambilan sahaja.

Semakan lanjut mendapati 18 pelajar perintis DDMS yang mengikuti kursus asas animasi telah tamat pengajian pada awal Jun 2007 namun mereka tidak melanjutkan pengajian kursus animasi 2D. Mengikut minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil 4/2007 pada 24 September 2007, sijil kursus hanya akan dikeluarkan setelah pelajar tamat kursus asas animasi 2D. Bagaimanapun selepas itu program kursus animasi 2D tidak dilaksanakan oleh DDMS sehingga ke tarikh pengauditan kerana tiada sambutan. Kursus animasi ini juga tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Dapatan lain adalah kemudahan pembiayaan pengajian tidak disediakan. Semakan audit mendapati pelajar-pelajar tidak boleh membuat pinjaman pengajian disebabkan kursus mereka tidak mendapat pengiktirafan. Selain itu, kos operasi DDMS didapati melebihi pendapatan operasi. DDMS telah membelanjakan RM341,504 untuk kos operasi iaitu pembayaran yuran konsultan dan RM166,604 untuk kos pemasaran berbanding dengan pendapatan operasi yang diperoleh iaitu RM73,100. Perbelanjaan yang tinggi ini menyebabkan DDMS menanggung kerugian berterusan selama 9 tahun ia beroperasi.

Selain itu, berlaku juga pembaziran aset di mana DDMS telah membelanjakan sejumlah RM871,658 bagi pembelian peralatan-peralatan berkaitan kursus animasi seperti 64 buah komputer iMac, studio dan peralatan pembuatan video. Semakan audit mendapati aset yang dibeli bagi kedua-dua program tidak dimanfaatkan. Sepanjang tahun 2007 hingga 2010, DDMS telah menganjurkan 12 sesi kursus asas animasi dan jumlah pelajar yang menyertai kursus tersebut adalah di antara 5 hingga 23 orang pelajar bagi setiap sesi.

Oleh itu bilangan maksimum penggunaan komputer iMac bagi kursus asas animasi adalah sebanyak 23 buah komputer iMAc sahaja. Manakala kursus PJSKT2 pula hanya melibatkan satu sesi pengambilan sahaja dan jumlah pelajar pula adalah seramai 15 orang yang hanya menggunakan 15 buah komputer desktop untuk tempoh 7 bulan sahaja. Keadaan ini menyebabkan sejumlah 41 buah komputer iMac yang bernilai RM457,944 dan 14 buah komputer desktop yang bernilai RM7,690 tidak digunakan sebagaimana tujuan asal pembelian.

Segala kupasan di atas hanyalah sebahagian daripada kelemahan pengurusan kewangan yang dikenalpasti di negeri Kelantan. Apa yang penting sekarang adalah bukannya menuding jari, tetapi mendesak Kerajaan Negeri mengambil langkah drastik agar penurunan prestasi tahun demi tahun tidak berulang.

Selepas 27 tahun memerintah Kelantan, Kerajaan Negeri sewajarnya memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat termasuk para belia. Cukuplah Kerajaan Negeri kini dilihat sebagai kerajaan yang lebih banyak politiknya berbanding jasa kepada rakyat. Ketepikanlah perbezaan politik sementara dan bekerjasamalah dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendahulukan rakyat. Dalam usaha mencapai status Malaysia negara maju, negeri Kelantan tidak boleh terkecuali dan tersisih dari pembangunan.

Oleh itu, tindakan Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri Kelantan tahun demi tahun adalah wajar, namun Kerajaan Negeri Kelantan haruslah segera meminimakan kebergantungan ekonomi kepada Kerajaan Persekutuan. InsyaAllah jika kebajikan rakyat diutamakan dan perbezaan politik diketepikan, Kelantan akan mampu membangun lebih baik suatu hari nanti.

Oleh: Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Ahli Parlimen Belia Negeri Kelantan & Pengerusi
Jawatankuasa Ekonomi Sosial Parlimen Belia Malaysia

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *