Ketereh Semakin Hebat Bersama Annuar Musa

Oleh : Ameena Yasmin Mohd Yusof

Apabila mula aktif dalam politik pada tahun 1978, Tan Sri Annuar Musa memilih untuk setia berbakti kepada kampung halamannya di parlimen Ketereh. Pelbagai suka duka dikongsi bersama Annuar hampir 40 tahun, rakyat melihat sendiri transformasi dan kemajuan parlimen Ketereh yang dahulunya dikenali sebagai parlimen Nilam Puri dan Peringat.

Walaupun pernah kalah dalam tiga pilihan raya umum, namun kesetiaan Annuar tetap utuh. Baginya, Ketereh adalah ‘benih’ yang perlu disemai supaya sentiasa tampak cantik dan hasilnya memanfaatkan orang di sekelilingnya.

Sesuai dengan pengalamannya melalui 7 pilihanraya, Annuar memilih untuk berada di satu tangga atas daripada ahli-ahli politik pembangkang di kawasannya.

Menerusi tema ‘Ketereh Koridor Ilmu, Rakyat Bersatu, Ketereh Maju’, Annuar membawa kerancakan pembangunan di parlimennya ke tahap yang lebih tinggi, selari dengan keperluan dan kehendak semasa penduduk di parlimen berkenaan. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bagi penggal ini, sejumlah RM1 bilion peruntukan dibawa masuk ke Parlimen Ketereh untuk mengisi keperluan pembangunan dan pemodenan di daerah yang terletak di selatan jajahan Kota Bharu ini meskipun ia bukan janji yang beliau lontarkan ketika PRU-13.

Majoriti penduduk Ketereh yang beragama Islam menikmati keselesaan beribadat di masjid-masjid dengan peruntukan berjumlah lebih daripada RM20 juta. Menerusi peruntukan yang sama juga, banyak masjid-masjid mendapat wajah baharu seperti Masjid Bechah Mulong, Masjid Tegayong, Masjid Kampung Dendang dan Masjid Ayesha di Kok Lanas. Keprihatinan Annuar terhadap kebajikan rakyat Ketereh juga telah diterjemahkan dengan pembinaan 600 rumah Mesra Rakyat dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), selain membaikpulih hampir 2,000 rumah di dalam parlimen Ketereh.

Sektor pendidikan juga menjadi keutamaan Annuar agar anak-anak bangsa kaya dengan ilmu dan pengetahuan. Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional mewujudkan Politeknik Kota Bahru di Kok Lanas dan Kolej Matrikulasi Kelantan yang telah beroperasi sejak tahun 2012. Projek ilmu kini diteruskan Annuar dengan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab yang mendapat peruntukan RM120 juta. Institusi ini dijangka akan melahirkan lebih 100 alhafiz setiap tahun. Selain akademik, pendidikan mengasah kemahiran anak-anak muda juga mendapat tumpuan dimana Pusat Giat MARA Prima bakal dibina di parlimen Ketereh dengan kelulusan peruntukan RM12 juta.

Tetapi pembangunan yang paling membuat rakyat Ketereh teruja adalah pembinaan Lebuh Raya Central Spine dari Kota Bharu-Sokor Kok Lanas yang dijangka siap pada November 2020. Projek ini sekaligus membuka peluang ekonomi yang lebih luas dan melonjakkan nilai hartanah di kawasan berkenaan. Inisiatif ini dipuji kerana ia menghubungkan kawasan parlimen Ketereh dengan pelbagai lokasi dengan masa yang lebih singkat, dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya sewaktu musim perayaan.

Pelbagai lagi projek akan dipergiatkan jika BN terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang. Antaranya, mentransformasikan pekan Melor sebagai “Pekan Pelangi” yang pertama di Malaysia. Mengambil inspirasi lanskap beberapa pekan kecil di sekitar Eropah, Melor akan bertukar wajah menjadi pekan ceria dengan premis yang akan diwarna-warnikan dan sekaligus menarik kunjungan orang ramai.

Selain daripada itu, sebuah gelanggang pelbagaiguna seni budaya dan Muay Thai turut dalam perancangan Annuar bagi menghidupkan suasana dan merancakkan lagi pembangunan Kadok.

Sebagaimana yang telah dilakukan Annuar sejak menjadi wakil rakyat selama ini, beliau juga mahu lebih banyak kampus cawangan institusi pengajian tinggi dibina bagi melengkapkan konsep ‘Ketereh Koridor Ilmu’ yang kini menjadi semakin popular.

Untuk dijadikan pelengkap kepada jalinan jalanraya yang lebih baik dan memudahkan lagi akses Ketereh dan Pasir Mas, sebuah jambatan merentangi Sungai Kelantan turut dirancang untuk dibina. Ini bagi memudahkan paksi perjalanan barat-timur, dan dengan itu menjadikan Ketereh sebagai satu lokasi strategik kerana berada di tengah-tengah daerah di Kelantan.

Empat projek pembangunan ini dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dan sekaligus menyediakan masa depan yang cerah buat rakyat tempatan khususnya generasi muda. Dalam tempoh jangkaan lima tahun akan datang, Ketereh bakal melalui satu fasa transformasi yang pastinya memanfaatkan rakyat tempatan.

Inilah natijahnya apabila rakyat bijak menggunakan kuasa mengundi apabila memilih wakil rakyat. Wakil rakyat yang menghabiskan masanya untuk menabur khidmat bakti; bukan hanya bermain politik semata-mata dan hanya muncul menabur fitnah bila ada pilihanraya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *