Kenapa terlalu membenci Orang Kelantan ?

Ok. Ini ulasan daripada hentaman seorang hamba Allah yang tidak menyenangi orang Kelantan. Sama ada menyokong atau tidak, terpulang kepada yang menilai. Orang Kelantan suka memecah belahkan orang Melayu? Orang Kelantan ke orang PAS yang saudara Anti Kelantan maksudkan? Kalau dibaca sampai habis, bunyinya macam menjurus kepada orang PAS. Owh, aku amat benci dan menyampah bila isu politik ditimbulkan di sini. Tapi nok buat guano, keno perjelaskan jugok.

Sering kali orang Kelantan disama dengankan dengan PAS. Satu pemikiran yang sangat² sempit sesempit lubang cacing. Di kawasan Parlimen kediaman aku, lebih tepat lagi di Dun aku, ada segelintir orang kuat serta penyokong BN yang begitu taksub dengan partinya. Hinggakan air minuman berwarna hijau (air pandan) di kenduri kahwin menjadi kutukan bangsa BN ini. Habis…nak tukar air biru? Minumlah nila kalau nak sangat air itu menjadi biru.

Teringat pesan seorang ayah kepada anaknya dalam hal pemilihan jodoh. Katanya, kalau nak cari pasangan mesti daripada penyokong BN. Haih, ada juga orang macam ni. Nampaknya, anaknya nanti nak cari pasangan mesti kena tanya soalan “Awak sokong BN ke PAS?”.

Paling aku tidak suka istilah ‘merempat di negeri orang’ yang ditujukan kepada orang Kelantan yang keluar negeri merantau tempat orang mencari rezeki. Kenapa hanya orang Kelantan yang dituju? Rasanya ada juga orang Johor, orang Perak, Kedah, Pahang merantau ke negeri lain khususnya KL untuk mencari rezeki. Malah ada orang merantau hingga ke luar negara untuk menyara hidup. Tidak Allah jadikan dunia ini hanya untuk golongan tertentu sahaja. Setiap orang ada rezekinya. Mungkin juga golongan Anti Kelantan akan ‘merempat’ di negeri orang mencari rezeki. Siapa tahu, bukan? Janganlah tuduh orang lain sebegitu. Rasanyalah, golongan Anti Kelantan menggunakan istilah ‘merempat’ kerana hatinya begitu benci dengan orang Kelantan. Mungkin kerana politik, mungkin juga kerana sikap orang Kelantan itu sendiri.

Sebut tentang sikap, aku sendiri juga sangat² tidak menyenangi orang Kelantan. Orang Kelantan yang bagaimana? Orang Kelantan yang suka cakap besar tapi bila disuruh segan. Orang Kelantan yang pengotor, langsung tidak endah tentang kebersihan diri dan persekitaran. Tidak hairanlah suatu ketika dulu Kelantan digelar negeri paling kotor di Malaysia. Aku akuinya.

Sampah di Pantai Senok

Dan satu lagi, orang Kelantan dilabel ganas? Kenapa? Kerana bola sepak? Kerana penyokongnya? Aku sangat² tidak menyetujuinya. Hakikat sebenarnya boleh disaksikan jika kau sendiri melihat suasana sebenar di stadium. Ya, memang penyokong Red Warrior ganas!!! Kalau ia dianggap ganas, lihatlah penyokong negeri lain, sama sahaja. Ada juga yang buat onar dan provokasi. Tetapi itu hanyalah segelintir, janganlah kerana itu kau berfikiran sebagai seorang ‘stereotype’ dengan melabel semua rakyat negeri itu sama iaitu mempunyai sifat yang SATU iaitu GANAS.

Penyokong Red Warrior dilabel ganas kerana bilangan mereka sahaja yang terlalu ramai yang mungkin menarik perhatian ramai pihak. Dan aku sangat² tidak berpuas hati terhadap media yang hanya menumpukan keganasan penyokong Red Warrior yang ‘segelintir’ sahaja itu sehingga menutup kebenaran yang disaksikan oleh ribuan penyokong tidak kira penyokong negeri mana sekalipun. Kalau mahu diceritakan tentang media, banyak yang bisa diulas tentang ‘berat sebelah’ dan ‘nasi tambah’ yang mereka ada-adakan. Tidak perlulah disini, mungkin lain kali.

Kelantan mundur ? Aku tidak hairan bila ada kawan² bukan dari Kelantan bertanya soalan sinis kepada aku, “Apa yang ada kat Kelantan?”. Memang, tiada apa di Kelantan. Itupun kalau kau mengharapkan disko, pub, jungle, bistro dan sebagainya di Kelantan. Kalau dulu aku pun sedikit terkilan dengan ‘ketiadaan apa²’ di Kelantan, tapi kini aku tahu apa yang aku inginkan, ada di Kelantan, iaitu satu ketenangan dan kedamaian. Bukan kerana kampung halamanku sendiri, tapi kerana tiang seri solatnya hidup di Serambi Mekah tersebut.

Aku tak nafikan masih ada maksiat yang berlaku di Kelantan. Tapi tidaklah secara terbuka seperti di KL dan Selangor yang mungkin mengundang pandangan tidak mengapa berbuat demikian di fikiran anak² kecil kita nanti.

Golongan Anti Kelantan kata Kelantan ni mundur. Mungkin saudara Anti Kelantan terlalu lurus mengikut buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan 5; Tamadun Asia dan Tamadun Dunia. Diukurnya ketamadunan itu dari sudut pembangunan, sedangkan ketamadunan pemikiran dibiarkan mundur. Owh, sebab itulah remaja kita sekarang mula kembali berpakaian seperti orang zaman Mesolitik. Tidak mustahil suatu hari nanti manusia bumi ini akan mengikut trend pakaian zaman Paleolitik. Owh, bukan remaja saja. Tidak ketinggalan juga makcik² berumur lanjut cuba menonjolkan perutnya yang kedut. Oh Malaysiaku.

Akhir kalam, janganlah menghina seseorang itu seolah² satu negeri pun sama. Mungkin dia berasal dari KL tapi menetap lama di Kelantan dan mula serasi dengan jiwa Kelantan. Jangan dek kerana marahkan PAS, seluruh rakyat Kelantan terkena tempias.

Aku sendiri pun tak gemar berkawan dengan orang Kelantan yang selekeh, kasar, cakap besar dan sebagainya. Tapi masih ada orang Kelantan yang begitu cantik akhlaknya untuk dijadikan kawan. Tidak semua orang sama. Bergantung kepada bagaimana persekitaran membentuk dirinya. Aku rasa rakyat negeri lain juga sama.

Fikirlah secara global.

Comments

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *