Kelantan uji dua pemain Brazil

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu segera memperkasakan The Red Warriors (TRW) dalam persediaan mereka untuk menghadapi Liga Malaysia musim depan dan langkah awal mereka adalah menguji dua calon pemain import dari Brazil.

Melihat kepada nama calon itu, adalah jelas Kelantan melihat posisi yang perlu mereka perkuatkan adalah bahagian pertahanan dan serangan.

Dua pemain tersebut juga berpengalaman beraksi bersama kelab Asia Tenggara iaitu Cassio De Jessus merupakan bekas pemain pertahanan Simen Padang manakala Thiago Dos Santos pernah bersama Madura United dalam Liga Indonesia.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II, Syafik Shahruddin turut dibawa dalam usaha memperkasakan TRW 2018.

Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan menurutnya, pemain ber­kenaan akan diuji dalam tempoh beberapa hari ini.

“Esok akan datang lagi seorang pemain import untuk menjalani latihan dan diuji oleh TRW,” katanya tanpa mendedahkan nama pemain itu.

Hussin memberitahu, setakat ini hanya Magaro Gomis dan Do Dong-hyun telah diikat kontrak oleh Kafa untuk mengisi kuota pemain import manakala Seydi Imam dan Abou Bark Al-Mel yang masih mempunyai baki kontrak bersama TRW akan dinilai semula.

“Kedua-dua pemain ini perlu membuktikan kemampuan sekiranya mahu kekal bersama TRW untuk musim depan,” ujarnya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *