Kelantan tak nafi bantuan Pusat

Kerajaan Kelantan mengakui kerajaan pusat banyak membantu memberikan sumbangan dan melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang dibangkitkan oleh pihaknya apabila kerajaan gagal menyelesaikan beberapa projek yang dijanjikan sebelum ini seperti hospital di Bachok dan sekolah di Kuala Krai.

“Kita tidak salahkan kerajaan kerana ada benda yang berjalan. Apa yang dibangkitkan adalah sesuatu projek yang mendapat kelulusan sudah lama tetapi tidak berjalan.

“Memang banyak bantuan sebelum ini, kita ucapkan terima kasih namun kita berharap apa yang dijanjikan seperti pembesaran lapangan terbang Pengkalan Chepa contohnya dapat dilaksanakan,” katanya kepada media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar, bawah) menzahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Kelantan yang berterusan menghentam kerajaan persekutuan walaupun pelbagai bantuan dan pembangunan disalurkan.

Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri turut menggesa kerajaan Kelantan mencari sumber pendapatan lain tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan pusat.

“Kadar pertumbuhan Kelantan yang mencecah 4.8 peratus pada tahun lalu juga disokong oleh pelbagai projek pembangunan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan pimpinan BN membelanjakan sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lepas merangkumi RM5.2 bilion bagi belanja mengurus dan RM1.1 bilion bagi pembangunan, manakala kerajaan negeri hanya membelanjakan sebanyak RM961 juta pada tahun lalu.

“Nisbahnya 6:1 ataupun dalam bahasa mudahnya, kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM6 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan (kerajaan negeri) Kelantan,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *