Kelantan dilabel ‘negeri sejuk’

GUA MUSANG – Negeri Kelantan boleh dilabel sebagai ‘negeri sejuk’ di mana masyarakatnya hidup dalam suasana aman dan damai biarpun terdiri daripada pelbagai kaum.

Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Sukri Omar berkata, walaupun berbilang kaum, namun masyarakat di negeri ini hidup bersatu padu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain.

“Negeri ini boleh dikatakan ‘negeri sejuk’ kerana hampir tiada pergeseran kaum tidak seperti di pantai barat. Kalau ada pun, ia hanya kes-kes kecil yang boleh diselesaikan dengan cara baik.

Sebahagian daripada peserta dan kakitangan JPNIN mengibarkan bendera di pentas utama.

“Masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni dan tolong-menolong antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan bangsa. Ia menunjukkan proses asimilasi kaum yang baik.

“Bukan sahaja selesa berpakaian, malah Melayu, India, Cina dan Siam, juga menghormati budaya dan agama yang lain.

“Diharapkan agar keharmonian ini akan diteruskan dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat kebersatuan yang utuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gemilang Perpaduan My Rukun Negara Sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Daerah Gua Musang di Astaka Paloh 2, di sini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) daerah, Fadilah Hassan, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Mohd Faris Awang.

Dalam pada itu, program berkenaan turut mempertandingkan beberapa acara termasuk gubahan tengkolok Jiran Wanita (Jiranita), pertandingan karaoke dan pertandingan pertunjukan fesyen 1Malaysia dalam kalangan kanak-kanak tabika perpaduan.

Kredit – Sinar Harian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *