Kelantan Bentang Bajet RM1.1 Bilion

Kerajaan PAS Kelantan membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.1 bilion dengan defisit RM41.74 juta menurun sebanyak RM0.91 juta berbanding tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Bajet 2018 yang bertemakan ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam’ itu memperuntukkan sebanyak RM738.64 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan RM312.14 juta perbelanjaan pembangunan.

Katanya, anggaran hasil kerajaan negeri pada tahun 2018 pula sebanyak RM696.90 juta iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak RM59.92 juta berbanding tahun lalu iaitu RM636.98 juta.

“Bajet Kelantan 2018 secara keseluruhannya memberi faedah kepada kesejahteraan rakyat sekali gus merangsang kemakmuran negeri.

“Selain itu, ia juga merupakan perancangan berbelanja secara berhemat dengan memberi keutamaan kepada projek atau program yang boleh mendatangkan kebaikkan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri juga fokus kepada pelbagai masalah rakyat khususnya golongan miskin dalam meringkan kos hidup menyediakan pelbagai bantuan lain,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Tambah Ahmad, bajet kali ini berpaksikan empat teras utama iaitu keberkatan, kemakmuran, kebajikan dan kecekapan.

“Kita akan memastikan setiap tindakan itu dilimpahi keberkatan Allah, merancakkan pembangunan ekonomi, memastikan kebajikan rakyat dan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Sementara itu, Ahmad juga mengumumkan beberapa perkhabaran gembira antaranya kerajaan negeri akan membayar bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada setiap penjawat awam dengan pembayarannya bakal dilaksanakan secara berperingkat pada tahun depan.

Katanya, bagi membantu golongan miskin meringankan beban hidup mereka, kerajaan negeri bersetuju mengecualikan cukai pintu bagi premis-premis yang dikenakan cukai bawah RM50.

“Kita juga akan memberikan bantuan pendidikan RM100 ‘one-off’ kepada pelajar-pelajar tingkatan satu daripada keluarga miskin yang mendaftar dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Selain itu, penarik-penarik beca yang berdaftar akan diberikan bantuan kos sara hidup RM1,200 setahun dengan pembayarannya akan dilakukan sebanyak dua kali,” katanya. – 21 November 2017.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *