Kelantan bentang bajet defisit 2018

KOTA BHARU: Kerajaan hari ini membentangkan Bajet 2018 dengan defisit sebanyak RM41.74 juta, berbanding RM42.65 juta tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil sebanyak RM696.9 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak 738.64 juta.

Katanya, bajet bertemakan ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam’ itu menganggarkan perbelanjaan pembangunan tahun hadapan berjumlah RM312.14 juta yang dibiayai kerajaan negeri, manakala RM90 juta daripada sumber pinjaman.

“Anggaran hasil 2018 meliputi hasil cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan sebanyak RM59.92 juta atau 9.41 peratus, berbanding anggaran hasil tahun lalu sebanyak RM636.98 juta.

“Hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan RM239.96 juta atau 34.43 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM82.06 juta atau 51.96 juta berbanding tahun lalu RM157.91 juta.

“Hasil hutan penyumbang kedua terbesar sebanyak RM140.20 juta, iaitu penurunan sebanyak RM37 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM177.20 juta,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2018 pada sidang DUN Kelantan hari ini, Ahmad berkata, anggaran perbelanjaan mengurus 2018 berjumlah RM738.64, meningkat RM59.01 juta atau 8.68 peratus berbanding RM679.63 juta tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, sebanyak RM414.42 untuk pemberian tetap dan kenaan tetap, emolumen (RM187.91 juta); perkhidmatan dan bekalan (RM119.58 juta); aset (RM2.19 juta) dan RM2.19 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM110.5 juta bagi tujuan pendidikan. Daripada jumlah berkenaan, RM96 juta diperuntukkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Sebanyak RM47.71 juta pula kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) bagi projek pembinaan, baik pulih masjid termasuk Masjid Keputeraan.

“Sebagai penghargaan kepada penjawat awam negeri, kerajaan negeri akan membayar bantuan khas sebanyak RM1,500 secara berperingkat pada tahun depan,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *