Isteri Korea ‘kecek Kelate’

Kota Bharu: Ketika tiba di pekarangan rumah di Kampung Padang Bongor, di sini, semalam, kelihatan pasangan suami isteri muda mengait rambutan.

Si suami lelaki berbangsa Melayu, anak jati Kelantan, manakala isterinya berlainan dari segi bangsa, kulit, penampilan dan perwatakan.

Pasangan itu ialah Muhamad Khalid Ismail, 29, dan Lee-Seul, 28, rakyat Korea Selatan yang perkahwinan mereka tular di media sosial sejak April lalu.

Kisah mereka pernah disiarkan Harian Metro Online pada 17 April. Sebelum itu, Muhamad Khalid sendiri tular di media sosial sejak Februari kerana fasih berbahasa Korea dan pernah muncul di stesen televisyen Korea Selatan untuk program realiti selain sempat berkongsi keunikan Malaysia.

Kedua-duanya yang menetap di bandar Gunpo, Gyeonggi, Korea Selatan pulang ke Malaysia untuk bercuti sejak Ahad lalu dan memperkenalkan Lee kepada sanak-saudara di Kelantan.

Lee berkata, dia dapat menyesuaikan diri dengan negeri ini dan tidak mempunyai masalah kerana cuaca panas ketika ini hampir menyamai musim panas di negaranya.

KOTA BHARU 03 AUGUST 2017. ( KBM233W ) Lee Seul, 28, wanita warga Korea Selatan bahagia sejak berkahwin April lalu bersama suaminya, jejaka dari Kelantan, Muhamad Khalid Ismail, 29 di perkarangan rumah di Kampung Padang Bongor. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

“Cuma, saya akui sukar juga sesuaikan diri dengan persekitaran kampung kerana tidak tahan dengan nyamuk memandangkan suasana kampung di Korea Selatan sangat berlainan, kami mengalami proses urbanisasi yang pesat.

“Tetapi ini bukan masalah besar kerana keluarga mentua sangat baik dan banyak membantu saya. Saya teruja apabila dapat mengenali keluarga besar di sini,” katanya yang juga guru di pusat jagaan kanak-kanak di negaranya.

Walaupun usia perkahwinan mereka baru memasuki empat bulan, Lee mengakui banyak belajar mengenai budaya tempatan dan bahasa pertuturan terutama loghat Kelantan.

“Saya sudah tahu apa itu makan, minum, selamat pagi, sedap, bagus, terima kasih dan sama-sama. Apabila pulang ke sini, saya tambah satu lagi perkataan iaitu (loghat Kelantan) ‘gelepar dodey-dodey’ yang maksudnya sangat teruja.

“Sama macam saya yang teruja berada di sini,” katanya yang sentiasa ceria dan suka mempelajari sesuatu yang baru.

Ditanya mengenai makanan tempatan digemarinya, wanita itu akui hanya mampu menelan makanan pedas dan masam yang menyamai masakan Korea Selatan selain sangat menggemari roti canai dan sambal.

“Saya sudah rasa nasi kerabu dan sedap rasanya. Saya tahu Kelantan juga terkenal dengan budu namun masih belum berani untuk mencubanya,” katanya.

KOTA BHARU 03 AUGUST 2017. ( KBM233W ) Lee Seul, 28, wanita warga Korea Selatan bahagia sejak berkahwin April lalu bersama suami, jejaka dari Kelantan, Muhamad Khalid Ismail, 29, serta ibu mertuanya, Norizan Ismail, 57 (kiri) walaupun cuaca berbeza di perkarangan rumah di Kampung Padang Bongor. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Muhamad Khalid berkata, dia masih dalam tempoh membimbing isterinya mendekatkan diri dengan ajaran Islam dan enggan terlalu memaksa memandangkan usia Lee memeluk Islam masih baru.

“Buat masa sekarang, saya hanya menekankan ibadat solat berjemaah di rumah kerana di tempat kerja isteri tidak disediakan ruang bersolat,” katanya yang juga graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Korea Selatan.

Lee juga mula membiasakan diri mengenakan tudung terutama jika ke majlis agama yang memerlukan wanita bertudung.

Dia yang sudah 10 tahun menetap di Korea Selatan berkata, kini dalam proses membangunkan syarikat sendiri dalam pembekalan bahan mentah untuk sektor perumahan.

Sementara itu, ibu Muhamad Khalid, Norizan Ismail, 57, berkata, ia hikmah kepada anaknya kerana terpilih untuk membimbing saudara baru dan tidak menafikan cabaran itu besar.

“Saya tidak pernah menghalang anak untuk mencari jodoh masing-masing asalkan tahu membimbing dan mencorakkan keluarga dan dalam hal Lee, kami tidak terlalu memaksa untuk dia terus berubah 100 peratus menjadi Muslim sejati,” katanya.

Sumber – HMetro

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *