Ibrahim Ali yakin boleh menang di Pasir Mas

PASIR MAS: Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yakin boleh memenangi kerusi parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), biarpun bertanding atas tiket bebas.

Hujah Ibrahim, Ahli Parlimen sedia ada Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz dari Pas mengabaikan banyak perkara hingga mengecewakan rakyat di Parlimen tersebut.

Malah katanya, sebahagian besar penduduk di Pasir Mas tidak mengenali Nik Abduh walaupun beliau merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Rata rata di Pasir Mas, rakyat kecewa, mereka yang di kampung-kampung tidak mengetahui Nik Abduh ini adalah orang Pengkalan Chepa, dia menang sebab aura bapa dia dan kedua – Pasir Mas kubu kuat Pas,” katanya selepas persidangan khas tahunan Perkasa Pasir Mas di sini, pada Sabtu.

Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyarankan rakyat Kelantan menolak pemimpin yang jenis mementingkan diri dengan berselindung dengan parti.

Katanya, terdapat pemimpin batil yang hanya makan gaji buta namun tidak mengendahkan rakyat di bawah.

Beliau juga tidak mahu rakyat tertipu dan bersedia menawarkan diri bertanding atas tiket bebas bagi menyambung pelbagai agenda pembangunan di Pasir Mas yang kini diabaikan Ahli Parlimen sedia ada.

Sumber – Awani

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *