Himsak harap tiada pelajar IPTA terlibat pesta arak

KOTA BHARU – Himpunan Siswazah Kelantan berharap tiada penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) melibatkan diri dengan pesta arak sama ada dibuat secara tertutup atau sebagainya.

Presidennya, Datuk Mohd Faizal Daud berkata, siswa dan siswi ini seharusnya lebih berfikiran terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya sosial seperti itu.

“Mereka perlu bijak menilai dan memilih apa yang baik dan yang tidak baik. Dengan cabaran teknologi sekarang, kita tidak mahu mengawal sepenuhnya, namun kita yakin dan optimis adik-adik di universiti ini tahu apa yang terbaik buat mereka.

“Namun jika mereka tetap melakukan kesalahan dan melanggar peraturan dan undang-undang universiti, maka mereka tahu apa akibatnya. Sebab semua perkara sudah termaktub dan sebolehnya, kita tidak mahu melihat perkara seperti itu berlaku,”katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh yang menyatakan pihak IPTA boleh mengenakan tindakan kepada mana-mana pelajar yang menyalahi undang-undang universiti, termasuklah menyertai pesta arak yang dikatakan bakal berlangsung awal Oktober ini.

Mohd Faizal berkata, didikan yang baik di universiti akan membantu bagi memastikan mereka tidak tersasar terutamanya penuntut yang beragama Islam dan yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.

Malah bukan budaya dan amalan di Malaysia untuk menyertai aktiviti seperti itu walaupun kita meraikan pelbagai agama dan kebudayaan masyarakat majmuk berbilang bangsa di negara ini.

“Untuk menjaga sesebuah negara merdeka ini bukan mudah, maka generasi muda inilah yang perlu menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih baik. Saya yakin, mereka tahu menilai perkara ini dan tidak mudah melatah untuk menyertai aktiviti yang tidak berfaedah,”katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *