Gereja, kuil di Kota Bharu dibaling penapis air

Dua buah rumah ibadat bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan, dibaling objek sehingga bahagian bangunan kedua-duanya mengalami kerosakan, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Dua buah rumah ibadat itu adalah Gereja Methodist dan kuil Hindu, Kuil Arulmigu Siva Subramaniyar yang terletak di Jalan Hamzah, pusat bandar Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (gambar) berkata, perbuatan khianat itu menyebabkan empat bahagian cermin tingkap di tingkat dua dan tiga gereja pecah, manakala tingkap kuil retak.

Katanya, polis menemui dua komponen tapisan dalam alat penapis air yang disyaki dibaling suspek ke dua bangunan itu.

“Suspek membaling dari jejantas dengan jarak antara enam hingga tujuh meter. Alat penapis yang ditemui mempunyai kesan dibakar (hangus),” katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian di Jalan Hamzah, sebentar tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat.

Hasanuddin berkata, kejadian tersebut pada mulanya disedari paderi yang tinggal di gereja itu.

Berdasarkan laporan awal, katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki dilihat berada di tempat letak kereta berhampiran jejantas dan membaling objek itu ke arah gereja, sebelum beredar dengan Nissan Grand Livina.

“Saya difahamkan ini kejadian kedua yang berlaku terhadap gereja ini. Kita akan menyiasat setiap sudut untuk mengenal pasti motif sebenar suspek.

“Justeru kita minta mereka masyarakat yang menjadi saksi kejadian ini supaya tampil membantu pihak polis,” katanya lagi.

– MalaysiaKini

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *