Gay Muslim Pertama Kahwin Di UK

Seorang lelaki Bangladesh menjadi orang Islam pertama berkahwin dengan pasangan sejenis di Britain.

Perkahwinan Jahed Choudhury, 24, dan Sean Rogan, 19 itu yang berlangsung 22 Jun lalu itu mendapat perhatian media tempatan.

Jahed berkata pasangannya Sean kini sedang mempertimbangkan memeluk agama Islam selepas ini.

Dalam majlis di hadapan keluarga dan rakan-rakan, kedua-dua mempelai mengenakan busana tradisional Bangladesh berwarna krim dan merah serta memakai kalungan bunga.

“Saya ingin katakan kepada semua orang yang melalui perkara yang sama seperti saya, tidak mengapa, kita akan tunjukkan kepada dunia bahawa anda boleh menjadi gay dan Islam.

“Saya kini menantikan kehidupan bahagia bersama Sean,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Dalam rakaman video sepanjang 1.31 saat itu kelihatan Jahed menyarungkan cincin di jari Sean dan mereka berdua ketawa selepas itu.

Jahed dan Sean turut merancang akan berbulan madu ke Sepanyol.

Diludah, dipanggil babi

Menceritakan pengalaman menjadi gay dalam masyarakat Islam, Jahed berkata beliau pernah berdepan pelbagai cabaran termasuk dicemuh, diludah, dibaling sampah dan dipanggil babi.

Beliau juga berkata pernah dihantar ke Mekah bagi menunaikan haji dengan harapan beliau menukar orientasi seksual.
Jahed mengakui pernah cuba membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan itu.

Kedua-dua pasangan itu bertemu secara tidak sengaja apabila Jahed yang sedang menangis atas sebuah bangku di England ditegur oleh Sean.

“Sean kemudian mengambil berat tentang saya dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjadi pasangan,” tambahnya.

Sumber: Malaysiakini.com

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *