ECRL: Pusat Ucap Terima Kasih Kepada Negeri

Kerajaan Pusat merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan PAS Kelantan kerana menjadi kerajaan negeri pertama memulakan usaha pengambilalihan tanah untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan negeri telah meluluskan proses pengambilalihan tanah seluas 445 hektar bagi pembinaan landasan sejauh 70 kilometer dan lima buah stesen.

Mustapa (dua, kiri) bertemu ketua jabatan selepas mempengerusikan mesyuarat di JPP Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, projek ECRL di Kelantan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM5 bilion daripada kos keseluruhan projek tersebut iaitu sebanyak RM55 bilion.

“Kelantan menjadi negeri pertama yang memulakan proses pengambilalihan tanah dan kita ucap terima kasih kerana kerajaan negeri begitu komited dalam membantu Kerajaan Pusat menjayakan projek untuk rakyat.

“Landasan ECRL di negeri ini adalah sejauh 70 kilometer daripada jarak keseluruhan 688 kilometer.

“Fasa pertama sejauh 46 kilometer bermula di sempadan Kelantan – Terengganu melibatkan Stesen Tok Bali, Stesen Jelawat dan Stesen Kota Bharu manakala fasa kedua sejauh 24 kilometer melibatkan dua stesen iaitu Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor,” katanya.

Mustapa memberitahu, pihak ECRL dijangka akan mula memasuki tapak pembinaan di Tunjong pada hujung bulan ini yang merupakan tapak Stesen Kota Bharu seluas 5.7 hektar (14 ekar). – 14 Ogos 2017.

Baca 10 Fakta Menarik Projek ECRL

Kredit : Sokmo.Net

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *