ECRL Lenyap Tanpa BN

Alhamdulillah semalam saya merasmikan majlis pecah tanah base camp projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) peringkat Negeri Kelantan di Tunjong yang menandakan satu lagi kemajuan untuk projek mega tersebut.

ECRL ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk membawa perubahan yang dianggap sebagai transformasi besar, pembaharuan cukup ketara kepada seluruh Pantai Timur.

Sejak dari awal pengumuman pelaksanaan ECRL, impian saya dan Kerajaan adalah untuk menambahbaik perhubungan antara wilayah-wilayah di Pantai Timur dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, selain saya juga mahu memastikan anak-anak di Pantai Timur negara merasai kemajuan pembangunan yang Malaysia kecapi.

Suka saya nyatakan jika dahulu jumlah masa perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menggunakan jalan raya mengambil masa sehingga 8 jam – 16 jam kalau waktu perayaan! – tetapi apabila siapnya ECRL nanti dengan kelajuan 160km sejam, tempoh masa perjalanan akan dapat dipendekkan kepada hanya 4 jam!

Ini pastinya bakal menarik lebih ramai pelancong ke negeri-negeri Pantai Timur dan memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi, merangsang pelaburan serta menambah peluang pekerjaan di kawasan terbabit. Mengikut kiraan, ECRL ini akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri sebanyak 1.5 peratus di Pantai Timur.

Melihat dari sudut pekerjaan pula, pada kemuncak projek ini jumlah pekerjaan yang akan diwujudkan mencecah 80,000 untuk rakyat tempatan. Tahun ini saja 14,000 pekerjaan akan dapat diwujudkan, dan saya menetapkan supaya tak kurang 70 peratus daripadanya mestilah orang Malaysia.

Saya juga yakin dengan adanya projek ECRL ini akan membawa kepada ‘reverse migration’, di mana anak-anak muda Kelantan dengan kelulusan dan kemahiran tinggi akan kembali ke negeri mereka untuk menyumbang kepada pembangunan Kelantan.

Namun di sebalik kesemua manfaat yang dibawa projek ECRL ini kepada rakyat Kelantan, Pantai Timur dan Malaysia secara keseluruhannya, baru-baru ini pemimpin pakatan pembangkang dan bekas Perdana Menteri 22 tahun, Dr Mahathir mahu melenyapkan semua kebaikan tersebut dan menghentikan pembangunan ECRL jika pakatannya berjaya menerajui Kerajaan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Adakah ini ciri pemimpin yang kita mahukan? Sanggup menggadaikan kepentingan rakyat dan negara demi kepentingan dan pandangan peribadi?

Memang pada era pemerintahan Dr Mahathir, negeri-negeri Pantai Timur terutamanya Kelantan dianak tirikan, namun tidak ketika zaman saya memimpin Kerajaan.

Saya tidak mengamalkan pendirian seperti beliau yang mendera dan mengabaikan Kelantan atau mana-mana negeri hanya kerana mereka berlainan pendapat atau pemimpin, kerana bagi saya sebagai pemimpin kita harus sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang paling utama, tak kira di mana mereka berada.

Kelantan misalnya, walaupun di bawah pemerintahan parti pembangkang tetapi saya benar-benar ambil berat mengenai masa depan rakyatnya. Janji saya bukan retorik kosong tetapi saya komited untuk melaksanakannya dan ECRL antara salah satu contoh.

Pembangkang dan Dr Mahathir sering mengeluarkan berita palsu dan cuba memesongkan fikiran rakyat dengan menjual kisah bahawa kita menjual kedaulatan negara kepada China, dan mengugut akan menghentikan dan menyemak semula semua perjanjian kita dengan China sekiranya mereka berkuasa.

Walhal pada hakikatnya hubungan baik Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dan negara-negara luar, bukan sahaja China, tetapi juga Arab Saudi, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan banyak lagi, telah membantu negara mencatatkan pelaburan langsung asing terbesar dalam sejarah, membolehkan kita melaksanakan pelbagai projek yang menguntungkan rakyat.

Sikap konfrontasi Dr Mahathir terhadap China dan negara-negara luar ini sebenarnya akan mengakibatkan bukan sahaja rakyat di Pantai Timur terkesan malah membawa bahana kepada negara secara keseluruhannya.

Bayangkan sekiranya China menghentikan pembelian sawit, atau tidak lagi ingin membeli barangan Malaysia? Harga sawit akan merudum, pekebun kecil sawit akan susah, minyak tidak terjual dan jumlah pendapatan akan jatuh, dan akhirnya yang menderita, rakyat juga.

Inikah apa yang Dr Mahathir dan pakatan pembangkang inginkan untuk negara dan rakyat Malaysia?

Oleh itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini, semuanya terletak di tangan anda.

Usahlah pilih pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan hanya tahu bermain retorik dan penipuan, pemimpin yang tidak tegap pendiriannya dan asyik u-turn, yang hanya menjual janji dan harapan palsu, yang akan membawa Malaysia mundur ke belakang.

Pilihlah pemimpin yang menjaga kepentingan rakyat di setiap negeri, memelihara hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar, yang mempunyai pelan dan perancangan untuk membawa Malaysia lebih berjaya.

Sesungguhnya Bersama BN, kita akan Hebatkan Negaraku!

– Najib Razak

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *