ECRL Beri Manfaat Besar Kepada Kelantan

Projek pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat termasuk bakal menarik pelabur ke kawasan Pantai Timur.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kesan daripada pembinaan projek tersebut turut memberi kelebihan kepada Kelantan khususnya untuk menarik pelabur dan kemudahan perhubungan kepada rakyat.

“Kita perlu melihat kesan projek ini secara menyeluruh, jangan sempitkan pemikiran kerana kemudahan ECRL memberi banyak kebaikkan. Selain itu, projek berkenaan mampu menambah baik perhubungan Pantai Timur dan Barat.

“Jangan kata projek ini tidak penting atau tidak perlu didahulukan, kerana apa yang dilakukan Kerajaan Pusat sudah dikaji terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Terdahulu semasa sesi soal jawab, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad menyifatkan projek projek Central Spine Road (CSR) lebih penting berbanding ECRL.

Hanifa berkata, sepatutnya kerajaan perlu menyiapkan CSR terlebih dahulu sebelum memulakan pembinaan lain.

“Mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai tidak akan menggunakan kereta api untuk pulang ke kampung, sebaliknya menaiki kenderaan,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM55 bilion untuk pembangunan ECRL yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor menghubungkan ban­dar-bandar seperti Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan­, Kemaman, Kerteh, Kuala Te­rengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat, Kelantan. – 21 November 2017.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *