Dua beradik Pos Gob sertai acara kriket Sukan SEA

GUA MUSANG – Dua beradik dari perkampungan Orang Asli, Pos Gob, di sini membanggakan masyarakat Gua Musang apabila menjadi sebahagian atlet Sukan SEA KL 2017 dalam acara kriket.

Yatim Ahmad, bersama Sasha (kiri) dan Zumika (kanan) yang turut menyertai Sukan SEA KL 2017 dalam acara kriket.

Mereka adalah Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, Pahang.

Menurut Zumika, biarpun mereka berasal dari kawasan pedalaman Orang Asli, namun ia bukanlah kekangan untuk membuktikan kejayaan dalam bidang sukan.

Katanya yang merupakan pemain skuad utama pasukan kriket wanita negara, ini adalah kali pertama mereka beraksi di Sukan SEA KL dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menempa kejayaan.

“Kami masih lagi dalam perlawanan dan sehingga kini, kita sudah memenangi dua perlawanan. Diharapkan, kami dapat bawa pulang pingat untuk negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Kelantan, Yatim Ahmad berkata, ini antara ikon belia Orang Asli yang boleh diketengahkan dari segi bakat dan pencapaian sekaligus memberi aspirasi kepada pelajar lain agar lebih berjaya dalam bidang akademik dan sukan.

Katanya, pemilihan SMK Tengku Indera Petra 1, sebagai pusat kecemerlangan sukan kriket dibawah Persatuan Kriket Melayu Malaysia dilihat dapat mencukil bakat dan potensi belia di daerah ini agar berjaya dalam bidang sukan.

“Saya akan selalu bersama pelajar dan belia Orang Asli bagi membantu golongan masyarakat ini untuk menterjemahkan bakat yang mereka ada.

“Malah, dalam bidang akademik pula, saya akan berusaha untuk menempatkan Sasha ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk melanjutkan pelajaran di mana ia adalah pusat kecemerlangan kriket kebangsaan disamping akademik mereka tidak terabai.

“Perbincangan telah dibuat bersama pihak UKM dan mereka memberi perkembangan positif. Insya-ALLAH, akan ada rezeki buat mereka,” katanya lagi.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *