Dua anggota TLDM selamat dikebumikan

RANTAU PANJANG: Jenazah dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipercayai meninggal dunia pada Jumaat akibat kes dera, selamat dikebumikan hari ini.

Suasana pilu menyelubungi pengebumian Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, di Tanah Perkuburan Rantau Panjang pagi ini.

Selepas bedah siasat memakan masa empat jam, jenazah dibawa dari perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRB) Lumut pada jam 1 pagi tadi.

Jenazah tiba di rumah keluarga di Kampung Bagus pada jam 6.30 pagi, disolatkan di Masjid Al-Hidayah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang tiga jam kemudian.

Seramai 200 ahli keluarga, penduduk dan anggota TLDM menghadiri upacara berkenaan

Jenazah diuruskan oleh pasukan kawalan jenazah KD Lekir dan dibantu penduduk dan ahli keluarga.

Turut memberi penghormatan terakhir Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Mohd Sukri Salleh, 52.

Hadir sama Pegawai Memerintah KD Lekir TLDM, Kepten Mahadzir Mokhtar dan Pengkalan KD Lekir.

Sementara itu jenazah Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dikebumikan di Tanah Perkuburan Limbat, Kota Bharu jam 5.50 pagi tadi.

Pengebumian Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy dilakukan mengikut istiadat tentera, turut disaksikan Panglima Udara TLDM mewakili Panglima TLDM, Laksamana Pertama, Datuk Alias Baharuddin.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Binjai, di sini dengan van jenazah TLDM kira-kira jam 4 pagi tadi, yang kemudiannya disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Kedua-duanya meninggal dunia semasa menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, pada Jumaat.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *