Cerita Disebalik Kampung Bunohan Di Pengkalan Kubor, Kelantan

Pengkalan Kubor merupakan sebuah daerah yang brsempadan dengan negara Thailand Tak Bai. Keluasan Pengkalan Kubor ini adalah kira-kira 29km. Pengkalan Kubor dikatakan mempunyai banyak tempat yang menarik dengan sejarah yang menakjubkan daripada pelbagai versi. Antara kampung yang mempunyai sejarah yang menarik di Pengkalan Kubor ini ialah Kampung Bunohan. Terdapat pelbagai cerita daripada orang kampung bagaimana kampung tersebut dinamakan sebagai Kampung Bunohan. Asal-usul kampung tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan kes-kes pembunuhan yang berlaku pada suatu masa dahulu.

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, ada yang mengatakan bahawa nama kampung tersebut diambil selepas berlakunya kejadian pergaduhan antara beberapa orang penduduk kampung dengan ketuanya yang dikatakan berlaku pada 60 hingga 70 tahun dahulu. Pergaduhan tersebut telah menyebabkan ketua kampung tersebut dibunuh. Terdapat juga versi lain yang mengatakan perkataan bunohan itu berasal daripada sejenis alat yang digunakan untuk menangkap ikan ketika zaman penjajahan British. Alat itu digunakan untuk menangkap ikan di sungai kampung tersebut. Hal ini telah menyebabkan nama bunohan dekat dalam kalangan penduduk kampung tersebut pada ketika itu. Kisah tentang asal-usul kampung ini dikatakan telah diceritakan sejak zaman berzaman dan menyebabkan penduduk kampung percaya akan kebenarannya.

Namun begitu, ada sesetengah penduduk kampung yang percaya bahawa kewujudan kampung Bunohan ada kaitannya dengan penjajahan Jepun pada suatu ketika dahulu di mana tentera Jepun telah membunuh sesiapa sahaja yang menghalang laluan mereka. Justeru itu, tempat ini telah menjadi saksi pembunuhan secara beramai-ramai dan turut dikatakan sebagai peristiwa pembunuhan yang terbesar. Ramai penduduk kampung telah dibunuh kerana dianggap cuba melarikan diri daripada penjajahan Jepun. Hal ini demikian kerana, kampung ini berdekatan dengan sempadan Thailand. Kesan daripada peristiwa itulah wujudnya Kampung Bunohan.

Dikatakan selepas kejadian pembunuhan itu, mayat mereka telah dibawa ke suatu lokasi untuk dikebumikan dalam satu liang lahad dan akhirnya tempat tersebut digelar sebagai Pengkalan Kubor tetapi tidak dapat dipastikan lokasi sebenar di mana mereka dikuburkan. Cerita-cerita ini terus menular dari satu generasi kepada generasi yang lain. Pembunuhan kejam ini tidak hanya melibatkan orang Melayu sahaja tetapi turut melibatkan orang Siam dan Cina serta mereka yang cuba untuk menghalang tentera Jepun untuk terus menjajah Kelantan.

Namun begitu, kejadian ini telah lama berlalu dan penduduk Kampung Bunohan sekarang tidak sekejam namanya. Bahkan, peduduk di kampung ini merupakan masyarakat yang ramah, baik hati serta mudah mesra meskipun dengan orang luar. Kampung Bunohan ini juga telah berkembang maju dan terletak di laluan utama untuk ke Pengkalan Kubor. Sejarah kampung ini yang menarik telah menjadikan ianya diangkat sebagai filem yang diberi tajuk Bunohan yang telah ditayangkan pada 8 Mac 2012 dan sebahagian latar tempat filem tersebut dilakonkan di Kampung Bunohan.

Sumber : Orang Kelantan

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *