Campuran air ketum, ubat batuk, pil kuda makin popular – AADK

TUMPAT: Air ketum dicampur ubat batuk dan pil kuda semakin popular dalam kalangan remaja kerana dijual hanya antara RM5 hingga RM10 berbanding dadah jenis lain yang agak mahal.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, berkata keadaan itu membimbangkan kerana bekalan air ketum mudah diperoleh.

Katanya, ia boleh menyebabkan jumlah remaja terbabit dengan penyalahgunaan dadah meningkat.

“Bekalan air ketum begitu mudah didapati sekitar kampung, harganya juga sangat murah berbanding dadah jenis lain. Kesan khayal hasil campuran ketiga-tiga bahan itu dikatakan semakin kuat.

“Apabila boleh didapati dengan harga murah, pasti ia menjadi pilihan remaja termasuk pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui pada Program MyBeautiful Malaysia di Kampung Sedar, di sini hari ini.

Program itu bagi membersihkan kawasan semak yang sering menjadi tumpuan penagih dadah.

Yang turut hadir, Ketua Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin; Pengerusi Skuad AADK Tumpat, Datuk Amran Mat dan Timbalan Ketua Polis Tumpat, Deputi Superintendan Mazuki Mat.

Rohayu berkata, AADK sering ke sekolah untuk membuat ujian air kencing terhadap pelajar dan didapati semakin ramai terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Ada yang sudah lama terbabit dengan pil kuda, bermula dari sekolah rendah lagi. Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga kini, katanya, AADK mendaftar 6,595 Orang Kena Pengawasan (OKP) di seluruh Kelantan, didahului daerah Kota Bharu dengan 1,429 orang.

“Daerah Tumpat pula di tempat keempat selepas Pasir Mas,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *