Bibi Ramjani gunakan duit sendiri bayar gaji pemain

KOTA BHARU: Kurang 48 jam selepas dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, memulakan langkah agresif apabila menyelesaikan dua bulan tunggakan gaji kepada 28 pemain Piala Presiden dan jurulatihnya, hari ini.

Langkah itu menunjukkan usahawan wanita berkenaan menunaikan janji pertamanya dalam misi membangkitkan semula kegemilangan pasukan Kelantan.

Jumlah bayaran tunggakan gaji pemain itu tidak didedahkan, namun difahamkan ia membabitkan bayaran lebih RM100,000.

Bibi Ramjani mengakui menggunakan duit sendiri bagi melunaskan tunggakan gaji untuk Julai dan Ogos sebagai motivasi pemain dalam mengharungi saingan suku akhir pertama Piala Presiden bertemu Negeri Sembilan, Khamis ini.

Langkah pertama itu juga dibuat selepas menghadiri mesyuarat KAFA malam tadi, sebagai usahanya menyelesaikan hutang badan induk itu yang mencecah jutaan ringgit, secara berperingkat.

“Ini langkah pertama untuk selesaikan hutang KAFA secepat mungkin, tambahan pula ia tidak membabitkan jumlah yang besar berbanding pemain The Red Warriors (TRW).

“Bagaimanapun, saya akan mengambil sedikit masa dan selesaikan secepat mungkin bagi melunaskan tunggakan gaji pemain.

“Saya akan berjumpa dengan pemain TRW di Johor, esok sebelum perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta’zim) bagi membincangkan perkara berkenaan,” katanya selepas melakukan pembayaran tunggakan gaji pemain Piala Presiden, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, tumpuan utama KAFA ketika ini bukan saja menyelesaikan hutang pemain, sebaliknya mendapatkan kemenangan baki tiga perlawanan Liga Super bagi mengelak pasukan itu terjerumus ke Liga Perdana.

Selain itu, Bibi Ramjani juga mendedahkan masih terdapat beberapa penaja tidak melunaskan duit tajaan seperti dijanjikan dengan nilainya mencecah lebih RM1 juta.

“Malah ada seorang penaja tidak membayar langsung (tajaan), mungkin kerana kontrak perjanjian kurang kemas.

“Apapun saya minta penaja menunaikan janji mereka bagi menampung bayaran gaji pemain, memandangkan pemain sudah melakukan tanggungjawab mempromosikan nama penaja,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *