Bibi gesa penyokong TRW tidak membuat spekulasi

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berharap penyokong The Red Warriors tidak membuat spekulasi peribadi mengenai perpindahan pemain kerana proses rundingan perlu dilakukan mengikut kemampuan pasukan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, kejayaan pasukan itu mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super perlu diambil sebagai motivasi untuk terus berjuang musim depan.

“Kami kena terima hakikat proses runding cara dengan pemain sudah lama dilaksanakan oleh pengurusan pasukan lain sebab merekasudah dapat menentukan kedudukan mereka.

“Kami perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana masih dapat berjuang di Liga Super walaupun waktu itu kami hanya mampu bertawakal selepas segala usaha dilakukan.

“Jadi ruang untuk pinang meminang pemain yang berpotensi dan mempunyai kelebihan diperoleh daripada pasukan yang sudah yakin dengan kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Bibi yang juga usahawan tempatan berkata, faktor membuat urusan bersama beberapa pemain pada saat akhir menyebabkan KAFA terdesak bagi mendapat pemain berkualiti.

Bagaimanapun, ujarnya KAFA akan melakukan yang terbaik buat pasukan bagi membangkitkan kembali kegemilangan yang pernah dikecapi beberapa tahun lalu.

“Kami tetap menjalankan amanah sebagai pengurusan dalam persatuan demi kebaikan pasukan negeri dan bukannya untuk kemusnahan.

“Sepatutnya kami termasuk pengurusan lama dan penyokong bersatu ke arah kebaikan untuk kebangkitan semula pasukan.

“Sekarang bukan masa untuk menuding jari lagi sebab sukan adalah untuk menyatupadukan bukan untuk perpecahan… berilah ruang, peluang, masa dan semangat kepada kami,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *